Tuesday, March 27, 2012

Nasib Melayu Pulau Pinang


Kenapa tanah Melayu mudah tergadai?

LAPORAN media mengenai nasib penduduk Melayu Pulau Pinang mula berkocak semula. Ia gara-gara tindakan kerajaan DAP Pulau Pinang yang mula ‘menceroboh’ tanah didiami dan dimiliki penduduk Melayu.Walau apa pun status tanah tersebut, sama ada tanah persendirian, tanah syarikat, tanah ceti, tanah tol atau tanah pemaju, nampaknya segala pembangunan yang dijalankan seolah-olah mahu mengusir penduduk Melayu dari menetap di bahagian pulau.
Kampung Jalan Pokok Asam dan Kampung Tengah di Jelutong, Kampung Genting di Balik Pulau, Kampung Permatang Tepi Laut di Batu Maung dan Kampung Teluk Kumbar menyaksikan betapa ramainya penduduk Melayu telah dan bakal diusir keluar dari tanah yang didiami mereka sejak lama dahulu.

Apa sebenarnya berlaku? Benarkah mereka dihalau keluar dari tanah mereka? Wartawan Utusan Malaysia, ROHANA MAN dan NURUL HUDA HASSAN serta jurugambar, ZHAFARAN NASIB mengupas isu yang hangat diperkatakan sekarang.

KEMELUT dan nasib penduduk Melayu di Pulau Pinang yang terpinggir telah lama kedengaran. Tetapi ia kini semakin lantang kedengaran disebabkan tindakan kerajaan DAP Pulau Pinang yang mula mengambil satu demi satu tanah untuk tujuan pembangunan.

Ya…kita tidak boleh menolak pembangunan. Tetapi soalnya, pembangunan yang bagaimana perlu dilakukan agar keadilan sosial dapat dinikmati semua kaum di negeri itu.

Apa yang jelas adalah pembangunan ‘berat sebelah’ iaitu sekadar membina pangsapuri mewah yang tidak mampu dimiliki majoriti penduduk Melayu.

Menitip pantun lama yang berbunyi:

Pulau Pinang bandar baru,

Kapten Light menjadi raja;

Bila terkenang zaman dahulu,

Jatuh berlinang air mata.

Hakikatnya, nasib orang Melayu di Pulau Pinang mula dibangkitkan selepas pilihan raya 1969. Sejak kira-kira 40 tahun lalu iaitu sewaktu Perikatan, kemudiannya Barisan Nasional yang diterajui UMNO, Gerakan, MCA dan MIC memerintah, memang banyak hal ehwal berkaitan nasib Melayu Pulau Pinang diperkatakan termasuk dalam isu tanah.

Namun kita perlu faham bahawa masalah berkaitan tanah Melayu di Pulau Pinang memang rumit untuk diselesaikan kerana ia melibatkan banyak perkara terutama berkaitan status. Ini kerana sebanyak 60 perkampungan Melayu di Pulau Pinang merupakan tanah ceti atau tanah tumpang. Kesemua kampung itu kini mempunyai kira-kira 7,000 penduduk. Begitulah status tanah di Kampung Jalan Pokok Asam, Kampung Tengah, Kampung Permatang Tepi Laut dan Kampung Teluk Kumbar. Kesemua tanah itu kini telah dan akan menjadi milik pemaju.

Ia jadi begitu selepas tanah yang diwarisi daripada nenek moyang telah digadai kepada ceti. Ceti pula menjual tanah itu kepada pemaju.

Memang menyedihkan kerana rupa-rupanya selama ini, orang Melayu menumpang teduh di atas tanah yang asalnya milik mereka, tetapi terpaksa keluar dari kampung selepas mendapat perintah mahkamah.

Dalam kes Kampung Jalan Pokok Asam, ia akan dimajukan dengan projek kediaman bertingkat berharga RM800,000 seunit oleh pemaju dari Kuala Lumpur.

Ya…kita akui tanah telah tergadai dan penduduk tidak boleh berbuat apa-apa untuk kekal di kampung masing-masing. Namun, jika benar-benar kerajaan negeri yang dikuasai DAP prihatin terhadap nasib rakyat, tentu kerajaan negeri campur tangan dalam isu yang melibatkan nasib dan masa depan penduduk Melayu Pulau Pinang.

Setakat hari ini, apa yang kita nampak penduduk kampung terpaksa berjuang sendirian untuk mendapatkan keadilan terutama dalam soal pampasan. Malah, lebih teruk ada penduduk tidak mendapat apa-apa pampasan. Di mana tanggungjawab sosial yang sepatutnya dipikul kerajaan negeri?

Di sebalik itu, banyak pihak tertanya-tanya kenapa begitu mudah tanah Melayu Pulau Pinang tergadai? Adakah salah kerajaan pimpinan Barisan Nasional (BN) yang memerintah sehingga tahun 2008? Marilah kita berfikir jauh ke hadapan.

Banyak pihak menuduh UMNO yang menjaga kepentingan penduduk Melayu Pulau Pinang menjadi punca kenapa banyak tanah Melayu tergadai. Ia satu tuduhan tidak berasas kerana UMNO tidak memiliki tanah-tanah tersebut. Ia adalah hak milik penduduk yang mewarisinya daripada nenek moyang mereka.

Ketika mahu menjual tanah-tanah tersebut, mereka tidak merujuk perihal itu kepada pemimpin UMNO. Justeru, kenapa UMNO dipersalahkan? Penduduk menjual tanah atas kehendak sendiri selepas ‘kelabu mata’ melihat habuan lumayan yang bakal diterima.

Namun banyak juga faktor lain yang perlu dilihat iaitu kebanyakan anak-anak muda tidak mahu lagi tinggal di kampung. Mereka meninggalkan ibu dan bapa sendirian di kampung. Oleh kerana ‘tiada sesiapa’ lagi di kampung, maka ibu bapa ikut berhijrah ke tempat lain untuk menetap bersama anak-anak.

Akhirnya, tanah kampung dijual dan ini juga merupakan salah satu punca kenapa semakin banyak tanah milik Melayu tergadai di Pulau Pinang.

Soalnya, kenapa tanah Melayu mudah sangat tergadai? Ia bertitik tolak daripada pendidikan dan pemikiran generasi nenek moyang yang ketika itu kurang bijak membuat keputusan yang betul dalam soal tanah.

Ilmu yang cetek mengenai selok belok tanah yang dipajak, tanah yang digadai dan tanah yang berpindah milik kurang difahami.

Faktor ekonomi yang rendah menjadi antara punca kenapa penduduk sanggup menggadai tanah. Mungkin mereka berharap generasi berikutnya dapat menebus semula tanah yang digadai. Tetapi, sebaliknya pula yang berlaku apabila tanah tidak ditebus sekali gus memaksa ceti menjualnya kepada pemaju.

Dalam majlis forum bertajuk Isu Penghakisan Tanah Melayu Pulau Pinang: Apakah Jalan Penyelesaiannya? baru-baru ini, seorang ahli panel memberitahu harga tanah di Georgetown sekarang adalah RM400 sekaki persegi. Melihat angka yang besar itu, siapa yang tidak kelabu mata?

Menurutnya, harga itu adalah harga semasa pada Mac dan April 2010. Sudah terang lagi bersuluh, bahawa mereka yang berpendapatan rendah, majoritinya Melayu tidak akan mampu membeli rumah di bahagian pulau.

Trend pemaju di pulau itu sekarang adalah membina pangsapuri mewah yang tidak mampu dibayar oleh orang Melayu. Menurut Pensyarah Kanan Pusat Kajian Sains Kemasyarakatan Universiti Sains Malaysia (USM), Dr. Azeem Fazwan Ahmad Farouk, purata pendapatan per kapita mengikut kumpulan etnik bagi tahun 2004 menunjukkan kaum bumiputera memperoleh RM2,856 berbanding kaum Cina RM4,268 dan kaum India RM2,687.

Meneliti itu, nampaknya orang Cina juga ramai yang tidak mampu memilikinya, apatah lagi kaum bumiputera. Yang mampu adalah orang luar dari Korea dan Singapura yang semakin banyak membeli pangsapuri mewah di pulau tersebut.

Memetik kertas kerja bertajuk Ekonomi-Permasalahan Melayu Pulau Pinang oleh Amir Hussin Baharuddin dalam buku bertajuk Melayu Pulau Pinang terbitan USM: “Dulu kita tidak pernah bimbang penghijrahan orang Melayu Pulau Pinang ke tempat lain kerana penghijrahan mereka dilakukan secara sukarela untuk membaiki taraf hidup. Tetapi pada hari ini kita amat bimbang kerana Melayu Pulau Pinang dipaksa berpindah secara tidak sedar, dari rumah yang selesa ke flat yang seperti sangkar burung merpati atau dari dusun yang disayangi ke rumah pangsa tanpa tanah untuk bercucuk tanam. Mereka menjadi mangsa pembangunan. Melayu Pulau Pinang semakin terpinggir, mereka sudah tidak boleh bertahan lagi, mereka kabur dan terhimpit.”

Justeru, kita seluruh anak Melayu di negara bertuah ini seharusnya berkongsi sama masalah yang melanda saudara sebangsa dan seagama mereka di Pulau Pinang yang nampaknya semakin terhimpit dengan mencari titik penyelesaian, bukannya menuding jari mencari kesalahan pihak lain semata-mata mahu menutup kelemahan sendiri.

sumber- http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=1122&pub=Utusan_Malaysia&sec=Muka_Hadapan&pg=mh_01.htm

____________________________________________________________

Hanya 1.16% tanah milik Melayu

DAERAH Timur Laut merupakan kawasan yang paling pesat membangun di negeri Pulau Pinang. Ia kini muncul sebagai pusat komersial terbesar di negeri itu sekali gus menyaksikan kaum Cina menumpu di daerah tersebut.

Penumpuan kaum Cina di kawasan bandar yang kini meliputi hampir seluruh daerah itu bermula sejak kedatangan Francis Light pada 1786 yang mana beliau bertanggungjawab membawa masuk banyak imigran dari China.

Kesannya adalah apa yang kita lihat sekarang iaitu daerah Timur Laut kini mempunyai penduduk majoriti Cina.

Perkembangan itu memperlihatkan kaum Melayu yang telah ada di pulau tersebut ‘ditolak’ ke kawasan yang lebih jauh dari pesisir pantai Timur Laut. Ini menyebabkan banyak kaum Melayu menumpu ke kawasan Barat Daya yang mana Balik Pulau merupakan salah satu kawasan majoriti berpenduduk Melayu.

Situasi tersebut sekali gus menjawab kenapa kaum Melayu hampir tidak memiliki tanah di daerah Timur Laut.

Ini dibuktikan dengan statistik terkini yang menunjukkan hanya 1.16 peratus kaum Melayu memiliki tanah di daerah tersebut, berbanding kaum bukan Melayu sebanyak 19.84 peratus. Peratusan lain tanah dimiliki oleh syarikat, agensi dan kerajaan negeri.

Faktor yang menyebabkan kaum Melayu kurang mampu memiliki tanah di daerah tersebut adalah kerana harga tanah yang terlalu tinggi. Jika ada pun kaum Melayu memiliki tanah yang ‘sekangkang kera’ itu, ia adalah tanah yang diwarisi daripada datuk dan nenek moyang mereka sejak ratusan tahun lalu.

Untuk memiliki tanah baru adalah mustahil bagi kaum Melayu Pulau Pinang memandangkan ada tanah terutama di Georgetown berharga RM400 sekaki persegi.

Ini menyebabkan kaum Melayu tidak ramai yang tinggal di daerah tersebut yang juga merupakan pusat komersial utama di Pulau Pinang.

Jika diteliti dari aspek ekonomi, memang satu kerugian besar kepada kaum Melayu yang tidak mampu membeli rumah dan tanah di daerah tersebut. Ketidakmampuan itu juga adalah kerana harga rumah yang terlalu mahal dan tidak mampu dimiliki oleh kaum Melayu.

Rata-rata seunit rumah bertingkat iaitu pangsapuri kos sederhana dan pangsapuri mewah ditawarkan pada harga antara RM300,000 hingga RM500,000 seunit. Malah, ada yang menjangkau harga melebihi RM1 juta seunit. Rumah atas tanah pula seperti rumah berangkai, rumah teres dan banglo pula ditawarkan pada harga yang lebih mahal, iaitu melepasi tujuh angka.

Harga yang terlalu tinggi itu bukan sahaja menyebabkan kaum Melayu tidak mampu memilikinya, malah kaum Cina juga begitu. Ini kerana kebanyakan penduduk Cina yang kaya dan profesional kini lebih suka berhijrah ke luar negara.

“Saya ada banyak kawan berketutunan Cina yang bekerja sebagai jurutera di kilang-kilang di sekitar Bayan Lepas berhijrah ke luar negara, khususnya Australia,” kata seorang penduduk, Fatimah Ariffin yang telah bermastautin di Pulau Pinang sejak 21 tahun lalu.

Faktor semakin ramai golongan profesional Cina dan kaya raya berhijrah ke luar negara diakui oleh Pensyarah Kanan Pusat Kajian Sains Kemasyarakatan, Universiti Sains Malaysia, Dr. Azeem Fazwan Ahmad Farouk.

Faktor berhijrah ke luar negara dan mempunyai anak yang sedikit dalam kalangan penduduk Cina menyebabkan jumlah penduduk majoriti Pulau Pinang hari ini adalah kaum Melayu.

Sumber daripada Jabatan Perangkaan Negeri Pulau Pinang menunjukkan Statistik Penduduk Pulau Pinang Bagi Tahun 2009 adalah 44.89 peratus penduduk bumiputera, manakala penduduk Cina sebanyak 44.27 peratus.

“Sungguhpun majoriti penduduk Pulau Pinang sekarang adalah kaum Melayu, tetapi jumlah mereka di bahagian pulau masih tidak dapat mengatasi jumlah penduduk Cina.

“Ini kerana orang Melayu tidak mampu membeli rumah yang terlalu mahal di pulau terutama di daerah Timur Laut. Ia sekali gus memaksa mereka memiliki hartanah di Seberang Prai.

“Mereka (orang Melayu) hanya berulang-alik dari seberang ke pulau untuk bekerja. Selain itu, kebanyakan kaum Melayu di daerah ini adalah kakitangan kerajaan. Dengan gaji kakitangan kerajaan, mana mereka mampu membeli rumah di sini,” katanya.

Menurutnya, kaum Melayu juga didapati lebih selesa tinggal di tanah besar kerana selain faktor harga rumah yang jauh lebih murah, mereka juga boleh memiliki rumah atas tanah seperti rumah teres, rumah berangkai atau banglo.

Katanya, faktor keselesaan hidup di rumah atas tanah turut mempengaruhi kaum Melayu berpindah ke tanah besar.

Keadaan itu juga katanya membuatkan kehadiran orang Melayu di daerah Timur Laut tidak ada kesan untuk mewujudkan satu kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Melayu di situ.

“Dari aspek politik, apa yang patut wakil rakyat Barisan Nasional buat adalah mempertahankan kerusi yang sedia ada. Ini kerana kajian mendapati agensi amanah yang dianugerahkan tanah untuk bumiputera di daerah itu tidak mempunyai tanah yang cukup untuk bawa masuk orang Melayu (pengundi) ke Timur Laut,” katanya.

Beliau juga berkata, kebanyakan tanah milik agensi amanah bumiputera pula terletak di kawasan yang tidak strategik sekali gus gagal menarik minat kaum Melayu untuk menetap di situ.

“Orang lebih suka tinggal di kawasan yang ada aktiviti ekonomi yang aktif. Kawasan seperti itu pula banyak terletak di pusat-pusat komersial di tengah bandar, sedangkan tidak ramai Melayu mampu tinggal di bandar.

“Keadaan ini menyebabkan lama kelamaan kehadiran orang Melayu di bandar dengan sendirinya akan terhakis,” katanya.

Agak menakutkan melihat nasib orang Melayu di Pulau Pinang hari ini kerana di bawah kepimpinan kerajaan DAP sekarang, agensi amanah yang ditubuhkan untuk menjaga kepentingan kaum Melayu di negeri itu menghadapi kesukaran untuk menjalankan projek.

“Projek-projek yang dijalankan oleh pihak swasta pula semuanya lebih menjurus kepada meraih keuntungan yang berlipat kali ganda. Ini menyebabkan mereka hanya mendirikan projek pangsapuri mewah yang berharga lebih daripada RM300,000 seunit.

“Pada harga itu, tentulah orang Melayu tidak mampu membelinya. Lama kelamaan juga, orang Melayu dengan sendirinya akan berpindah ke seberang, sekali gus menghakis pemilikan hartanah di bahagian pulau,”tambahnya.

Azeem menegaskan, oleh kerana faktor yang menolak orang Melayu keluar ke seberang adalah ekonomi maka meningkatkan pencapaian ekonomi kaum Melayu perlu menjadi agenda utama pemimpin Melayu hari ini.

“Selagi orang Melayu tidak ada kuasa ekonomi dan kuasa beli sebagaimana kaum Cina, maka selagi itulah orang Melayu Pulau Pinang akan ketinggalan dan terus terpinggir,” katanya.

sumber- http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=1122&pub=Utusan_Malaysia&sec=Muka_Hadapan&pg=mh_02.htm

Monday, March 26, 2012

Harga rumah di Pulau...

Terbaru saya ada terbaca tentang harga perumahan di negeri Pulau Pinang, khususnya di pulau yang dikatakan harganya terlalu mahal sekarang ini. Imbau kembali keadaan di dalam pulau 10 tahun dahulu dimana boleh dikatakan penduduk di pulau dapat membeli rumah untuk diduduki tidak kira apa bangsa sekali pun. Keadaan sekarang setelah di tadbir pembangkang nampaknya penduduk asal di pulau perlu mencari rumah di negeri berhampiran atau di Seberang Jaya. Yang malangnya disini ialah warga melayu di pulau yang dahulunya penduduk asal di negeri itu terpaksa keluar dari pulau dan menetap di Seberang. Kenapa ini berlaku?
Saya terbaca satu artikel di dalam Utusan yang bertajuk 'kisah sedih rumah kos rendah Tanjung' yang menceritakan tentang rakyat Singapura khasnya warga cina Singapura ramai yang membeli rumah di Pulau Pinang khasnya di dalam pulau. Ini sesuatu perkara yang membimbangkan kerana takut-takut ada udang di sebalik batu. Apabila perkara ini berlaku warga pulau tidak dapat membeli rumah idaman mereka kerana di khabarkan bahawa harga rumah naik mendadak tiap tahun.
Apa yang kerajaan pembangkang lakukan terhadap perkara ini? Bukan sahaja melayu yang mengeluh tetapi cina dan india juga mengeluh terhadap perkara ini. Kerajaan negeri sepatutnya memantau keadaan ini dengan serius kerana jika benar rakyat luar dapat membeli tanah di pulau dengan mudah maka tidak lama lagi pulau itu mungkin dipenuhi dengan muka-muka orang asing. Kuota perlu untuk perkara ini. Rakyat Malaysia perlu di utamakan sebelum di jual ke orang asing, barulah nampak macam jaga kepentingan rakyat yelah macam selalu yang di war-warkan oleh parti pembangkang di Pulau Pinang. Jangan sampai rakyat pulau kena merempat baru nak buat kerja dan fikirkan apa nak buat, buat sekarang.
Rasanya sampai sini dulu entry kali ini, saya rasa kesihan terhadap warga pulau...

Sunday, March 25, 2012

KONTRAK SOSIAL

Tunku Abdul Rahman Al-Haj berjaya menyakinkan rakyat dengan kontrak sosial yang telah dipersetuju bersama oleh semua kaum

Ketuanan orang-orang Melayu perlu dipertahankan

Kekeliruan Mengenai Kontrak Sosial

Perdebatan mengenai kontrak sosial hangat dibincangkan di media tempatan apabila akhbar Mingguan Malaysia pada 14 Ogos 2005 menyiarkan laporan yang memetik ucapan Presiden Parti Gerakan, Datuk Seri Lim Keng Yaik yang menggesa parti-parti politik di negara ini melupakan formula kontrak sosial antara kaum kerana ia didakwa membuatkan masyarakat Cina dan India merasa ‘kecil hati'. Berikutan itu, Naib Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin membidas kenyataan tersebut dengan mendakwa ia bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan. Reaksi serupa daripada kalangan beberapa pemimpin UMNO turut disiarkan di media.

Datuk Seri Lim Keng Yaik kemudian menafikan beliau membuat kenyataan tersebut sambil mendakwa bahawa kata-kata beliau telah disalah tafsir. Bagaimanapun beliau telah memohon maaf secara terbuka dan menjelaskan bahawa beliau tidak pernah berhasrat mempersoalkan atau menukar formula kontrak sosial antara kaum yang dipersetujui semasa Negara mencapai kemerdekaan. Sehubungan dengan itu juga. Kabinet pada 17 Ogos 2005 mengarahkan supaya semua perdebatan mengenai isu tersebut dihentikan.



Gembira menjadi rakyat Malaysia yang mempunyai semangat jati diri yang tinggi tanpa perasaan perkauman
(Sumber: Perpustakaan foto Jabatan Penerangan)
Apa Yang Dimaksudkan Dengan Kontrak Sosial?

Kontrak sosial adalah persetujuan yang dicapai sebelum merdeka di kalangan para pemimpin Melayu, Cina dan India dan parti-parti yang mereka wakili, UMNO, MCA dan MIC. Bagaimanapun, kontrak sosial harus dianggap sebagai satu persetujuan di kalangan masyarakat berbilang kaum, bukan hanya pemimpin atau kumpulan elit tertentu. Permuafakatan itu mendapat sokongan rakyat sebagaimana yang terbukti melalui kemenangan Perikatan dalam pilihan raya 1955. Rakyat perlu memahami fakta sejarah bahawa kontrak sosial dicapai melalui proses muafakat dan musyawarah.


Mengapa Isu Kontrak Sosial Timbul?

Isu ini timbul mungkin kerana kontrak sosial ini telah dibentangkan kepada masyarakat sebagai satu persetujuan antara elit pada masa tertentu, dalam keadaan tertentu. Ini menyebabkan generasi baru menganggapnya sebagai tidak lagi relevan. Sebahagian masyarakat bukan Melayu juga menganggapnya kontrak sosial sebagai sesuatu yang dikaitkan dengan kewarganegaraan. Ia suatu pemberian yang diberikan kepada mereka yang pada masa itu yang merupakan imigran atau keturunan imigran.Oleh sebab itu generasi bukan Melayu sekarang menganggapnya sebagai sesuatu yang sudah berlalu. Mereka juga tahu bahawa hak istimewa masyarakat bumiputera adalah sebahagian daripada kontrak sosial. Oleh kerana bukan Melayu diberikan kewarganegaraan atas syarat-syarat tertentu, masyarakat bumiputera pula diberikan perlindungan melalui fasal-fasal dalam Perlembagaan tentang hak istimewa. Kepada mereka kompromi ini terikat kepada masa tertentu, jadi mereka tidak nampak relevannya sekarang.

Adakah Kontrak Sosial Terkandung Dalam Perlembagaan?


Kontrak sosial bukan istilah yang wujud dalam Perlembagaan Persekutuan pada tahun 1957 tetapi permuafakatan yang mewakili semangat Perlembagaan. Dengan adanya kontrak sosial ketika proses ke arah mencapai kemerdekaan, usaha telah dapat dilakukan untuk menggubal Perlembagaan. Ia merupakan muafakat antara kaum yang mewarnai Perlembagaan, persepakatan yang diterjemahkan ke dalam Perlembagaan. Walaupun istilah kontrak sosial tidak ada dalam Perlembagaan tetapi semangatnya ada pada ciri-ciri perlembagaan itu.

Apakah Perkara Penting Perlu Difahami Dalam Kontrak Sosial?

Rakyat Malaysia perlu memahami kontak sosial dengan jelas berdasarkan kepada fakta sejarah. Kontrak sosial harus difahami sekurang-kurangnya tentang hubung kaitnya kepada empat perkara utama iaitu - perlembagaan, kemerdekaan, hubungan kaum dan sistem pemerintahan negara. Tanpa kontrak sosial mungkin kita tidak dapat mencapai kemerdekaan pada tahun 1957 kerana pihak British ketika itu menjadikan permuafakatan itu sebagai prasyarat. Kontrak sosial adalah anak kunci kepada hubungan kaum sebagaimana yang termaktub dalam perlembagaan. Kontrak sosial juga asas kepada sistem pemerintahan yang menjadikan kita negara demokrasi berparlimen raja berperlembagaan dengan konsep negeri dan persekutuan.

Apakah Hubung Kait Kontrak Sosial Dengan Negara dan Bangsa Malaysia?

Perlembagaan Persekutuan diwujudkan hasil daripada kontrak sosial yang dilahirkan daripada permuafakatan pelbagai kaum di negara ini. Perlembagaan itulah juga yang mentakrifkan negara kita serta menentukan sifat bangsa dan negara Malaysia.Malaysia adalah Negara berbilang kaum yang wujud daripada konsep Malay polity atau sistem kenegaraan Melayu. Perlembagaan Persekutuan pada tahun 1957 memberikan kewarganegaraan terbuka kepada bukan Melayu, sebahagiannya imigran dan diterima secara automatis sebagai warga Negara dan diberikan jus soli.Inilah antara sifat negara dan bangsa Malaysia yang harus difahami - berbilang kaum tetapi berakar umbi dalam sistem kenegaraan Melayu. Perlembagaan juga mengiktiraf bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, Islam sebagai agama rasmi dan sistem pemerintahan beraja.

Sumber Maklumat:- Bahagian Pengurusan Maklumat Strategik, Kementerian Penerangan Malaysia


KONTRAK SOSIAL MALAYSIA

1. Sebelum adanya Malaya dan Malaysia, semenanjung ini dikenali sebagai Tanah Melayu.

2. Hanya berkata ini akan sebabkan kita dituduh bersifat perkauman.

3. Untuk terangkan berkenaan asal-usul kontrak sosial Malaysia saya terpaksa imbas semula sejarah.

4. Melalui perjanjian-perjanjian yang ditandatangani Raja-Raja Melayu Semenanjung, British telah mendapat hak untuk menakluk Negeri-negeri Melayu. Perjanjian-perjanjian ini mengakui dan mengesahkan Negeri-negeri ini sebagai Negeri-negeri Melayu. Tidak ada sesiapa pun yang membantah. Orang Asli juga menerima keadaan ini dengan penerimaan oleh mereka pemerintahan Raja-Raja Melayu.

5. Pada mulanya penduduk yang tinggal di Negeri-negeri ini dibahagi kepada orang Melayu dan Orang Asli yang merupakan rakyat Raja-raja Melayu dan tetamu asing yang tidak dianggap sebagai rakyat kepada Raja-raja Melayu. Tidak ada kewarganegaraan mahupun dokumen berkenaan taraf kerakyatan sepertimana di kebanyakan negara-negara lain.

6. Tetamu asing ini hidup mewah di Negeri-negeri Melayu di bawah pentadbiran British dan di jajahan British di Pulau Pinang, Melaka dan Singapura. Orang Melayu yang menjadi rakyat kepada Raja-raja Melayu dan Raja-raja Melayu sendiri tidak sikitpun merasa tergugat dengan bilangan besar orang bukan Melayu dan perbezaan jurang kekayaan dan kemajuan di antara tetamu asing ini dan rakyat Raja-Raja Melayu. Mereka tidak terfikir yang orang asing yang menetap di negara ini akan menuntut hak kewarganegaraan.

7. Apabila Jepun menakluk Negeri-negeri Melayu dan Negeri-negeri Selat, orang Cina merasa tidak selamat kerana Jepun merupakan musuh tradisi mereka.

8. Ramai orang Cina telah menubuhkan dan menganggotai angkatan gerila dan lari ke dalam hutan. Apabila Jepun serah diri, gerila-gerila Cina ini keluar dan merampas balai-balai polis di kawasan pedalaman dan isytihar yang mereka adalah pemerintah negara ini. Mereka menangkap ramai orang, Cina dan Melayu dan beberapa daripada mereka ini dibunuh.

9. Orang Melayu di kampung-kampung membalas dengan membunuh orang Cina di kawasan luar bandar. Ketegangan timbul dan pertempuran antara Cina dan Melayu dielak hanya dengan kedatangan angkatan tentera British. Tetapi perasaan marah dan benci antara kedua-dua kaum ini tetap tinggi.

10. Di dalam keadaan tegang ini British mencadang penubuhan Malayan Union yang akan memberi "tetamu-tetamu" ini hak kerakyatan yang tidak membezakan mereka daripada orang Melayu.

11. Orang Melayu menolak Malayan Union dan cadangan hak kerakyatan ini. Mereka paksa British untuk kembali keapda keadaan asal atau status quo ante di dalam Persekutuan Tanah Melayu (Federation of Malaya) yang baru.

12. Hanya orang Cina yang menjadi rakyat Negeri-negeri Selat layak untuk mendapat kerakyatan di dalam Persekutuan yang baru ini. Sudah tentu warganegara keturunan Melayu jauh lebih ramai daripada rakyat Malaya yang berketurunan Cina.

13. Pemimpin-pemimpin Cina merayu kepada British, yang kemudiannya menekan Presiden UMNO, Dato Onn Jaafar supaya mencadangkan agar UMNO dibuka kepada semua kaum. Cadangan ini ditolak lain-lain pemimpin UMNO dan Dato Onn terpaksa melepaskan jawatan.

14. British terus beri tekanan kepada orang Melayu untuk bersikap lebih terbuka berkenaan soal kerakyatan bagi orang bukan Melayu.

15. Presiden UMNO Tunku Abdul Rahman memutuskan untuk menubuhkan pakatan dengan MCA (Malaysian Chinese Association) dan MIC (Malaysian Indian Congress). Dalam pilihanraya Majlis Perundangan Persekutuan (Federal Legislative Assembly) 1955, oleh kerana kurangnya kawasan majoriti penduduk Cina dan India, MCA dan MIC terpaksa letak calon mereka di kawasan yang mempunyai majoriti Melayu selepas UMNO bersetuju untuk tidak bertanding di kawasan-kawasan ini dan sebaliknya menyokong calon Cina MCA dan calon India MIC.

16. Begitu sokongan orang Melayu terhadap calon Perikatan MCA dan MIC hinggakan mereka menang walaupun menentang calon Melayu daripada PAS. Calon MCA dan MIC kesemuanya menang. Hanya UMNO kalah satu kerusi kepada PAS.

17. Tunku sebagai Ketua Menteri Persekutuan Tanah Melayu kemudian memutus untuk menuntut kemerdekaan. British terus berkeras menuntut hak kerakyatan bagi orang Cina dan India sebagai syarat memberi kemerdekaan.

18. Untuk mengatasi halangan British terhadap kemerdekaan dan untuk memenangi sokongan orang Cina dan India Tunku memutuskan untuk beri satu juta kerakyatan kepada kedua-dua komuniti ini berdasarkan hanya kepada permastautin. Salah seorang rakyat baru yang menonjol ialah (Tun) Leong Yew Koh, bekas general di dalam angkatan tentera nasional China yang kemudiannya dilantik Gabenor Melaka.

19. Di peringkat ini pemimpin-pemimpin ketiga-tiga parti yang berdasarkan kepada kaum yang telah mendirikan Kerajaan pemerintahan sendiri di dalam Persekutuan Tanah Melayu (Federation of Malaya) British telah berbincang dan mencapai persetujuan berkenaan syarat perhubungan antara ketiga-tiga kaum di dalam Persekutuan Tanah Melayu yang merdeka.

20. Ianya merupakan agihan yang sama rata. Sebagai balasan untuk satu juta kerakyatan bukan Melayu, orang bukan Melayu mesti mengakui kedudukan istimewa orang Melayu sebagai Bumiputera. Beberapa peruntukan undang-undang seperti kedudukan Islam sebagai agama rasmi, pengekalan tanah rizab Melayu, kedudukan Raja-raja Melayu dan adat istiadat Melayu dan pengagihan jawatan dalam Kerajaan juga termasuk di dalam persefahaman ini.

21. Dalam soal Bahasa Kebangsaan, Bahasa Melayu telah dipersetujui sebagai Bahasa Kebangsaan. Bahasa Inggeris pula sebagai bahasa ke-dua. Kaum Cina dan India boleh terus gunakan bahasa mereka tetapi bukanlah sebagai bahasa rasmi untuk berkomunikasi.

22. Sekolah rendah Cina dan Tamil juga boleh menggunakan bahasa masing-masing sebagai bahasa pengajar. Bahasa-bahasa ini juga boleh digunakan di sekolah menengah, tetapi hanya di sekolah menengah swasta.

23. Di pihak mereka pemimpin-pemimpin Cina dan India yang mewakili parti mereka menuntut agar kerakyatan dijadikan hak mereka yang tidak boleh ditarik balik, mereka dibenar kekalkan bahasa, agama dan budaya mereka dan sebagai rakyat mereka diberikan hak politik sepertimana yang diberikan kepada semua rakyat.

24. Kebanyakan persetujuan dan persefahaman ini terkandung di dalam Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu merdeka. Bagi setiap yang diperuntukkan kepada orang Melayu, akan sentiasa terdapat peruntukan bagi yang bukan Melayu. Tidak ramai yang sebut akan hakikat ini. Yang menarik perhatian ramai dan yang menjadi tajuk perbalahan ialah apa yang diperuntukkan kepada orang Melayu dan lain-lain kaum Bumiputera sahaja.

25. Demikian walaupun Bahasa Melayu dijadikan Bahasa Kebangsaan, bahasa Cina dan Tamil tetap bebas digunakan di sekolah Cina dan Tamil. Peruntukan ini tidak terdapat di mana-mana negara lain. Bahkan di negara-negara yang liberal sekalipun tidak terdapat jaminan seperti ini yang termaktub di dalam Perlembagaan.

26. Bahasa Kebangsaan ini haruslah dipelajari semua orang agar setiap warganegara Malaya dapat berkomunikasi antara satu sama lain di mana-mana sahaja.

27. Difahamkan bahasa Cina yang di maksudkan di dalam persefahaman tersebut adalah dialek-dialek Cina yang ditutur di Malaysia dan bukannya bahasa kebangsaan negeri China. Demikian bagi kaum India Malaya bahasa Tamil digunakan dan bukannya Hindi atau Urdu atau apa-apa bahasa pun yang menjadi bahasa Kebangsaan di India. Tetapi para pendidik aliran Cina kemudiannya mengguna Bahasa Cina yang menjadi bahasa Kebangsaan negara China iaitu Mandarin.

28. Islam adalah agama rasmi tetapi agama-agama lain boleh dipraktik penganut masing-masing tanpa apa-apa halangan. Sebagai agama rasmi Islam mendapat bantuan Kerajaan. Tiada tersebut tentang bantuan bagi mana-mana agama lain. Bukan Melayu tidak menekankan tentang ini dan Perlembagaan Persekutuan tidak pun sebut tentang bantuan Kerajaan terhadap agama lain. Namun sokongan dan bantuan tetap diberikan.

29. Kuota ditetapkan bagi kakitangan Kerajaan (Malayan Civil Service) dimana orang Melayu akan mendapat empat tempat bagi setiap satu yang diberikan kepada orang Cina dan India. Walaubagaimanapun, jawatan profesional diiktiraf terbuka bagi semua kaum kerana dianggap tidak mungkin terdapat cukup bilangan orang Melayu untuk mengisi jawatan-jawatan tersebut.

30. Hasilnya pada awal kemerdekaan terdapat lebih ramai kaum bukan Melayu daripada Melayu yang mengisi jawatan dalam Divisyen Satu.

31. Yang Di-Pertuan Agong atau Raja-raja Melayu akan menentukan kuota biasiswa dan lesen bagi orang Melayu. Tetapi tiada sesiapa yang akan dirampas mana-mana permit atau lesen hanya untuk diberikan kepada kaum Bumiputera.

32. Kedudukan Raja-raja Melayu termaktub dan tidak boleh dipersoalkan. Seorang Yang Di-Pertuan Agong akan dipilih daripada sembilan Raja-raja Melayu dan akan berkhidmat selama lima tahun.

33. Raja-raja akan menjadi Raja berperlembagaan. Kuasa eksekutif akan dilaksanakan oleh Menteri Besar, Ketua Menteri dan Perdana Menteri yang dipilih dan dibantu ahli majlis atau Kabinet. Amalan British dijadikan contoh.

34. Persetujuan yang paling penting ialah pelaksanaan Demokrasi Berparlimen digabungkan dengan Raja Berperlembagaan, sekali lagi seperti yang diamalkan di United Kingdom. Harus diingat pihak British telah mengenakan Kerajaan Kolonial kuku besi ke atas Negeri-negeri Melayu dengan kuasa diletak pada Pejabat Kolonial di London.

35. Sebelum ini Negeri-negeri Melayu diperintah secara feudal di mana Raja-raja Melayu mempunyai kuasa mutlak. Hanya golongan bangsawan yang memain peranan dalam politik negeri. Rakyat Melayu tidak langsung ada apa-apa hak politik. Sudah tentu tetamu juga tidak mempunyai suara dalam hal-hal berkenaan politik. Warganegara British keturunan Cina dan India juga tidak mempunyai apa-apa suara walaupun mereka boleh dilantik sebagai Ahli Kehormat Majlis Kerajaan Tempatan atau Perundangan.

36. Keputusan untuk melaksana sistem Kerajaan berlandaskan demokrasi merupakan satu langkah radikal di dalam pentadbiran Kerajaan di Persekutuan Tanah Melayu dan Negeri-negeri Melayu. Ini dipersetujui pemimpin ketiga-tiga kaum terbesar yang diwakili parti-parti politik UMNO, MCA dan MIC. Tidak syak lagi yang parti-parti ini mewakili sebahagian besar daripada ketiga-tiga masyarakat di Malaya. Pihak Komunis dan yang berhaluan kiri lain tidak menyatakan persetujuan mereka terhadap persefahaman ini.

37. Suruhanjaya Reid diberi penerangan tentang perjanjian dan persefahaman ini agar ianya akan dimasukkan kedalam Perlembagaan yang akan digubal. Ketiga-tiga parti meluluskan Perlembagaan yang digubal setelah beberapa pindaan dilakukan. Kesannya Perlembagaan ini menjadi kontrak yang mengikat ketiga-tiga kaum di Persekutuan Tanah Melayu menjelang merdeka pada tahun 1957.

38. Apabila Sabah dan Sarawak menyertai Negeri-negeri Semenanjung untuk membentuk Malaysia kontrak sosial ini di panjangkan kepada kedua-dua negeri ini. Orang Bumiputera Sabah dan Sarawak di beri taraf yang sama dengan orang Melayu. Pada masa ini juga perkataan Bumiputera diperkenalkan untuk membezakan orang Melayu dan orang Bumiputera Sabah, Sarawak daripada yang berketurunan pendatang. Kerana Bahasa Melayu dugunakan secara meluas di negeri-negeri Borneo tidak ada kesulitan bagi penerimaan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan. Walaupun kaum Bumiputera di kedua-dua negeri ini bukan semuanya orang Islam ini tidak memerlukan pindaan kepada Perlembagaan apabila perkataan Bumiputera diterima. Tetapi definisi rasmi bagi orang Melayu tetap tidak berubah.

39. Oleh itu pembentukan kontrak sosial dimaktubkan dalam pertama, Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu dan seterusnya Malaysia. Untuk mengatakan yang ianya tidak wujud samalah dengan menidakkan kandungan Perlembagaan yang diasaskan kepada penerimaan oleh pemimpin-pemimpin ketiga-tiga kaum terhadap kontrak sosial yang asal.

40. Kesemua tindakan susulan oleh Kerajaan adalah hasil daripada kontrak sosial ini. Hakikatnya pencetus kontrak sosial ini dan pewaris-pewaris mereka yang diiktiraf rakyat di setiap Pilihanraya Umum menunjukkan kesediaan rakyat untuk menghormati kontrak sosial ini.

41. Menidakkan kewujudan kontrak sosial ini ialah seperti berkata yang Malaysia ini wujud di dalam suasana kekosongan, tidak ada Perlembagaan dan undang-undang yang berlandaskan kontrak ini.

42. Pelaksanaan kontrak sosial ini memerlukan pemahaman semangatnya yang mendalam. Kontrak sosial ini bertujuan mewujudkan satu negara berbilang kaum yang stabil dan harmoni. Apa jua faktor yang akan akibatkan ketidakstabilan dan menghasilkan ketegangan di antara kaum haruslah dianggap tidak sesuai dengan semangat kontrak sosial ini.

43. Selama 50 tahun tidak ada sesiapa yang menyoal kontrak sosial ini. Malahan hari ini pun majoriti kaum Cina dan India dan Bumiputera Melayu dan kaum Bumiputera Sabah dan Sarawak menerima kontrak sosial ini.

Sumber: Laman Web Tun Mahathir

Tuesday, March 13, 2012

cakap tidak serupa bikin..

Tertarik dengan situasi politik yang sedang melanda Malaysia sekarang ini, Menteri letak jawatan, Exco kena pecat dan taburan janji manis pembangkang. Apa yang menarik ialah tentang janji pembangkang, bukan sebab yang lain itu tidak menarik tetapi ada yang belum selesai kes nya dan ada yang tenga buat roadshow menceritakan sikap sebenar pembangkang, hmm biarlah orang yang lebi arif bercakap pasal itu.
Tetapi hari ini mahu bercakap tentang janji manis pembangkang, kerap kali berkunjung ke Pulau Pinang dan apabila menggunakan perhidmatan laluan Express iaitu BORR yang serupa di dalam Pulau iaitu PORR. Tetapi yang bezanya ialah BORR perlu bayar tol dan PORR tidak perlu bayar tol.
Terfikir sebentar adakah BORR ini tidak boleh di berikan percuma seperti PORR? KEnapa setelah DAP mengambil negeri tersebut masih ada lagi tol di sana? timbul satu persoalan, betulkah mereka ini sedang menguruskan negeri dengan baik? atau ini adalah sandiwara politik. Pernah terdengar dahulu bahawa PR mahukan tol di mansuhkan dan di berikan secara percuma, tergelak seketika apabila memikirkan pekara itu. Apa yang melucukan ialah kenapa melihat benda yang belum boleh lakukan? benda yang depan mata tidak dapat diselesaikan janganlah harap benda lain.
Tetapi fikirlah kenapa PORR dan BORR berbeza? jangan bagi alasan ia adalah dibawah kerajaan pusat, itu dah lapok. Tol jambatan Pulau Pinang pun tidak dapat di kurangkan,jangan kata hapuskan.Kurangkan pun belum tentu boleh. Dalam hal ini perlu dijelskan kenapa ia berbeza. Adakah ia disebabkan oleh faktor lain yang melbatkan komposisi kaum yang tinggal disekeliling Expressway itu? atau ada sebab konkrit yang lain.

Dr Hassan Ali in Sg. Petani...



I am not a fan, but he said have some point...