Tuesday, April 17, 2012

Bolehkah sejarah Melayu dipadamkan...?

Oleh: RIDHUAN TEE ABDULLAH
16 April 2012 (Sinar)


Setiap kali apabila isu pendidikan vernakular disentuh, saya diserang habis-habisan. Kedua ibu bapa saya, terutama ibu saya yang baru sahaja meninggal, dihina dan dikutuk, menggunakan perkataan amat lucah. PengIslaman saya pun dikeji. Perkataan khitan (bersunat) dipermainkan, hanya kerana saya tidak kulup lagi.

Sehingga Yang di-Pertuan Agong yang tidak bersalah pun dibabitkan sama. Lebih serius lagi, ada ugutan mencederakan saya. Jika di Singapura, tempat menjadi pujian dan pakatan ultra kiasu, sudah lama mereka ini dihumban ke dalam penjara. Tetapi di negara kita, begitulah keadaannya, ‘terlalu bertoleransi’ kerana takut hilang kuasa.

Persoalannya, di mana salah saya? Apakah yang dilontarkan itu tidak benar? Jika menyimpang, perbetulkan. Itu baru namanya, kita orang bertamadun. Bukannya menganggap diri bertamadun, tetapi berperlakuan amat hina, berfikiran dan bertindak seperti orang hilang akal.

Baiklah, jika masih tidak berpuas hati, saya akan ulangi apa telah ditulis sebelum ini. Buktikan kepada saya di manakah negara dalam dunia ini memberikan kebebasan mendapat pendidikan perkauman sebegini rupa? Tidakkah Malaysia adalah syurga kepada kaum selain Melayu dalam mengekalkan identiti dan jati dirinya?

Saya harap pihak berkuasa tidak akan tunduk demi masa depan negara tercinta ini. Jika kita tunduk, maka tergadailah maruah dan jati diri sebuah negara yang terletak di kepulauan Melayu. Jika harimau mati meninggalkan belang, gajah mati meninggalkan gading, apakah mungkin Melayu mati, di mana tulangnya?

Sepuluh jari saya susun jika orang Melayu tersinggung dengan tulisan ini. Terimalah muhasabah ini dengan lapang dada, kerana ikatan agama kita teramat kuat daripada ikatan bangsa membuatkan saya berani bersuara.

Saya sudah tidak rasa diri berbangsa, kerana Islam mengajar saya, ALLAH tidak akan tanya di kubur nanti, apa bangsa kamu! Cina atau Melayu! Tetapi pertanyaan yang amat takut tidak dapat dijawab, walaupun soalannya telah bocor, adalah “siapakah Tuhan kamu”? “Apakah agama kamu”? dan sebagainya.

Saya tidak pernah diupah oleh Umno untuk menulis, mahupun menerima habuan pihak ketiga. Saya tidak akan bersuara, jika semuanya teratur dan berjalan dengan baik. Saya tidak mahu mencari masalah. Saya mahu hidup aman, bebas daripada kutukan, makian, hinaan dan cercaan orang lain.

Namun, apakan daya, selagi Islam dan umatnya tidak terangkat dan terdarjat, selagi itulah perjuangan tidak selesai. Ultra kiasu sudah menjadi terlalu kuat. Semakin terus menggunakan segala ruang dan peluang pada waktu kritikal ini, kerana mereka takut ia mungkin tidak datang lagi. Justeru, sekali lagi saya paparkan apa yang telah diberikan selama ini, bacalah saya tidak akan ulangi lagi.

Pertama, SJKC sebenarnya tidak boleh disentuh sejak kewujudannya. Kita hanya berjaya menyeragamkan silibus pelajaran daripada berkiblat negara asal kepada silibus kita. Itupun masih lagi dipersoalkan. Subjek Bahasa Melayu walaupun telah diseragamkan, tetapi teksnya tidak sama berbanding aliran kebangsaan. Bahasa Melayu di SJKC/T lebih mudah, berbanding sekolah kebangsaan. Penyeragamannya ditentang ultra kiasu kerana jika diberatkan Bahasa Melayu, penguasaan bahasa ibunda akan berkurang.

Kedua, cadangan penambahan waktu pengajaran dan pembelajaran (P&P) bahasa Melayu di SJKC juga gagal. Cadangan kerajaan ditolak mentah-mentah. Alasannya, jika ditambahkan waktu P&P Bahasa Melayu, ia akan mengambil ruang masa subjek bahasa ibunda. Penguasaan bahasa ibunda akan terjejas.

Ketiga, cadangan P&P subjek sejarah (Malaysia Negaraku) di sekolah rendah, untuk meningkatkan semangat patriotisme, pun tidak berjaya. Jika subjek ini mahu diajarkan juga, mesti diajar dalam ibunda, bukannya dalam Bahasa Melayu, kerana akan menjejaskan penguasaan bahasa ibunda.

Keempat, kegagalan Sekolah Wawasan. Semua Sekolah Wawasan yang telah didirikan gagal untuk menarik perhatian orang Cina. Alasannya, percampuran dengan orang lain, akan mengurangkan penguasaan bahasa ibunda. Mereka mahu jadi secina cinanya.

Fikirkanlah wahai pemimpin sekalian. Benar, undi dan pengekalan kuasa penting, tetapi fikirkanlah kepentingan agenda membina negara. Saya tidak tidak pernah risau jika perkara ini berlaku di negara China, tetapi ingatlah kita berada di Malaysia, perkataan ‘Malay’ itu masih wujud, dengan sedikit penambahan perkataan ‘Sia’.

Jika tidak berlaku kemasukan Sabah dan Sarawak, negara ini akan terus kekal dengan nama Tanah Melayu. Bayangkan jika perkara ini terus berlaku, sedangkan namanya masih kekal Tanah Melayu. Bolehkah sejarah ‘Tanah Melayu’ dipadamkan begitu sahaja?

1 comment:

Anonymous said...

Saya sokong satukan sistem pendidikan,,,,banyak hak orang melayu di ambil tapi tidak sedikitpun hak kaum lain di sentuh malah makin bertambah.
Saya sedih melihat kampung melayu bertukar menjadi sArang arak, judi, seks dan banyak lagi. Tak percaya pantau dan turun padang ke station 18 dan buat perbandingan dgn kampung cina.... Terutama kat mengelembu.........kaki mabuk arak ni pun nak kg dia selamat dan hidup selesa tapi kenapa kita biar kampung kita huru hara,,,,,nanti mula org cakap org melayu jahat dan sebagainya sebab berlaku kat kawasan penduduk melayu