Wednesday, November 28, 2012

Doa kan untuk kebaikan.

TEKS UCAPAN PENUH YAB TAN SRI DATO’ HJ MUHYIDDIN HJ MOHD. YASSIN
TIMBALAN PRESIDEN UMNO DI MAJLIS PERASMIAN PERSIDANGAN PERWAKILAN
WANITA, PEMUDA DAN PUTERI UMNO 2012

“BERSAMA MELAKAR KEMENANGAN”

Bismillahirrahmanirrahim. Assalamu’alaikum warahmatullahi wa barakatuh, Salam Sejahtera dan Salam 1Malaysia.
YB Senator Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil
Ketua Pergerakan Wanita
YB Sdr. Khairy Jamaluddin
Ketua Pergerakan Pemuda
YB Datuk Rosnah Abdul Rashid Sirlin
Ketua Pergerakan Puteri
YB Naib-Naib Presiden UMNO
YB Setiausaha Agung UMNO
Ahli-Ahli Majlis Tertinggi
Barisan Exco Wanita, Pemuda dan Puteri

Saudara-saudari sidang perwakilan dan para pemerhati sekalian.
Alhamdulillah, UMNO kini berada di persada 66 tahun usianya. Negara kita telah merdeka 55 tahun adanya. Ia datang bersama sebuah pemerintahan dari acuan negara sendiri, dari pimpinan anak watan sendiri. Selama lebih enam dekad inilah, parti kita telah mengabdikan diri kepada anak watan, mengubah keadaan, dari selubung kemunduran dan kemiskinan, kepada cahaya kemajuan dan kemakmuran.

Kita bersyukur, kerana hasil gabungan kebijaksanaan rakyat memilih pemimpin dan kebestarian pemimpin mengemudi negara, Malaysia kekal aman, makmur dan sejahtera. Rakyat dari segala rentasan kaum dan agama hidup dalam suasana yang harmoni, tanpa persengketaan, tanpa kemusnahan. Pada masa yang sama, kita melonjak ke ambang negara maju dan melakar masa depan yang meyakinkan. Impian kita, harapan kita, hanyalah membina negara Malaysia yang berjaya dari Perlis hingga ke Sabah, dan sentiasa berada di bawah naungan Ilahi seperti yang dipohon oleh Nabi Allah Ibrahim:

وَإِذۡ قَالَ إِبۡرَٲهِـۧمُ رَبِّ ٱجۡعَلۡ هَـٰذَا بَلَدًا ءَامِنً۬ا وَٱرۡزُقۡ أَهۡلَهُ ۥ مِنَ ٱلثَّمَرَٲتِ مَنۡ ءَامَنَ مِنۡہُم بِٱللَّهِ وَٱلۡيَوۡمِ ٱلۡأَخِرِ‌ۖ

Yang bermaksud:

Dan (ingatlah) ketika Nabi Ibrahim berdoa dengan berkata: Wahai Tuhanku! Jadikanlah (negeri Mekah) ini, negeri yang aman sentosa dan berikanlah rezeki dari berbagai jenis buah-buahan kepada penduduknya, iaitu orang-orang yang beriman kepada Allah dan hari akhirat di antara mereka. (Surah Al-Baqarah, Ayat 126)

Saudara dan saudari yang saya hormati,

Menghimbau 55 tahun yang lalu, Malaysia berada dalam situasi yang hampir sama seperti di Sri Lanka, Fiji dan Myanmar ketika negara-negara ini berada di ambang kemerdekaan. Kesemuanya adalah bekas tanah jajahan British yang mempunyai penduduk berbilang kaum dan agama. Apabila British terdesak untuk melepaskan penguasaan ke atas tanah-tanah jajahan mereka, perkara utama yang menjadi persoalan ialah siapakah selain bangsa pribumi yang berhak mendapat hak kerakyatan, bangsa manakah yang akan menerajui pemerintahan negara baru itu, dan apakah bentuk negara yang mahu dibina.

Kecuali di Myanmar, negara-negara ini memilih model politik perkongsian kuasa antara kaum. Di Sri Lanka, etnik Sinhalis dan Tamil bersetuju untuk berkongsi kuasa. Namun, persetujuan untuk berkongsi kuasa sahaja tidak menjamin keamanan dan kestabilan politik yang berkekalan. Perbalahan kaum tercetus di Sri Lanka selama beberapa dekad selepas merdeka, sehingga membawa kepada rusuhan, perang saudara, kemusnahan dan kemunduran.

Di Fiji, etnik imigran yang ibu bapa mereka berhijrah ke negara itu semasa penjajahan British telah diberikan hak kerakyatan apabila Fiji mencapai kemerdekaan pada tahun 1970. Dengan hak kerakyatan, mereka juga mempunyai hak yang sama dengan Bumiputera Fiji untuk terlibat dalam politik dan ekonomi. Malangnya, kerana tidak ada usaha untuk meratakan padang permainan, Bumiputera Fiji yang lebih mundur memberontak sehingga menyebabkan perbalahan dan rampasan kuasa.

Lebih malang di Myanmar, etnik minoriti Rohingya yang berhijrah ke negara itu semasa penjajahan British tidak diberikan hak kerakyatan langsung. Tanpa hak kerakyatan, mereka tidak mempunyai hak untuk terlibat dalam politik, apatah lagi untuk berkongsi kuasa dengan kaum majoriti. Walaupun Myanmar telah merdeka selama 64 tahun, etnik Rohingya yang beragama Islam dilayan dengan begitu teruk sekali.

Mereka tidak dibenarkan bekerja dengan kerajaan dan anak-anak mereka dihalang daripada bersekolah di sekolah kerajaan. Hatta untuk mendapatkan rawatan di hospital pun mereka menghadapi kesukaran. Tidak cukup dengan itu, rumah-rumah mereka dibakar, tanah-tanah mereka dirampas dan keluarga mereka dihalau keluar dari bumi Myanmar. Bagi orang Rohingya, bumi yang mereka pijak ibarat neraka dunia.

Saudara dan saudari yang saya hormati sekalian,

KEBIJAKSANAAN POLITIK UMNO: MUAFAKAT UNTUK BERKONGSI KUASA

Alhamdulillah, kita di Malaysia tidak mengalami krisis politik dan perkauman yang parah seperti yang dialami di negara-negara lain, walaupun kita mempunyai lebih banyak bangsa, kaum dan suku kaum. Negara kita dipagari daripada malapetaka besar yang menggugat keselamatan dan kesejahteraan rakyat. Dengan izin Allah s.w.t kita dapat hidup dalam suasana yang aman, stabil dan makmur hingga ke hari ini.

Kesemua ini pastinya tidak terjadi dengan sendiri. Sudah tentulah ada sebab musabab yang menjadikan negara kita kekal aman, makmur dan sejahtera. Sebab yang utama ialah kebijaksanaan pemimpin kita terdahulu memilih acuan politik perkongsian kuasa yang berteraskan semangat persefahaman, pemuafakatan, setiakawan dan tolak ansur antara parti-parti politik yang mewakili pelbagai kaum sewaktu itu, iaitu UMNO, MCA dan MIC. Apabila Barisan Nasional dibentuk pada tahun 1974, muafakat kita semakin kukuh dengan lebih banyak parti-parti yang mewakili pelbagai etnik dan suku kaum bergabung, termasuk dari Sabah dan Sarawak.

Sepanjang lima dekad pemerintahan Barisan Nasional, muafakat yang dicapai untuk memerintah negara secara bersama tidak pernah kita ingkari. Janji untuk bekerjasama dan berkongsi kuasa tidak pernah kita nodai. Prinsip ini sentiasa kita pupuk dan suburkan, dan kini menjadi pasak kekuatan Barisan Nasional.

Alhamdulillah, meskipun ada kalanya kita diduga dengan pelbagai cabaran dan tuntutan, meja rundingan Barisan Nasional sentiasa dapat menawarkan penyelesaian kepada semua perkara yang berkait dengan kepentingan semua kaum. Kerana itu Malaysia kekal aman, stabil dan makmur hingga ke hari ini.

Meskipun begitu, bagi puak yang keras dan melampau dalam pemikiran dan tindakan politik, mereka sentiasa mengapi-apikan semangat perkauman dan agama yang sempit bagi menagih laba politik. PAS sebagai contoh pernah menuduh UMNO sebagai parti sekular, parti taghut, parti mustakbirin, parti fir’aun, parti kafir semata-mata kerana kita bekerjasama dengan rakan-rakan bukan Islam dalam Barisan Nasional.

Begitu juga dengan MCA, MIC dan parti-parti komponen lain dalam Barisan Nasional. Apabila mereka menerima pendirian UMNO dalam perkara yang berkait dengan kepentingan orang Melayu, DAP dengan cepat menuduh mereka sebagai parti yang lemah, atau parti pak turut yang sanggup menggadai kepentingan kaum bukan Melayu, semata-mata untuk mengecap nikmat kuasa bersama UMNO. Malah, DAP menuduh UMNO sebagai parti rasis dan parti ultra-Melayu, semata-mata untuk membangkitkan kebencian orang bukan Melayu terhadap UMNO dan Barisan Nasional.

Sebenarnya saudara-saudari, PAS dan DAP berbuat begitu semata-mata untuk menarik sokongan kaum tertentu kepada parti mereka. PAS menggunakan sentimen agama yang sempit untuk menghasut orang Melayu membenci UMNO dan menyokong mereka. DAP pula menggunakan sentimen perkauman yang melampau untuk menghasut orang bukan Melayu membenci MCA, MIC, Gerakan dan parti-parti lain dalam Barisan Nasional, supaya orang bukan Melayu menyokong mereka. Semuanya ini dilakukan atas dasar kepentingan politik yang jumud dan politik serakah, tanpa mengira kesannya ke atas perpaduan masyarakat berbilang kaum dan agama di negara kita.

Hakikatnya, sejak lebih lima dekad yang lalu, parti yang membawa fahaman politik benci dan fitnah, yang membakar sentimen agama dan perkauman bukannya UMNO, bukannya MCA, bukannya MIC, bukan juga parti-parti komponen BN yang lain. Sebaliknya ia didalangi oleh PAS dan DAP. Merekalah yang mengamalkan politik ultra perkauman dan membawa fahaman songsang mengenai agama yang memecah belahkan masyarakat kita. Kononnya undi PAS masuk syurga, sembelihan orang UMNO tidak halal, solat berimamkan orang UMNO tidak sah. Malah, mereka sanggup mendoakan kehancuran bagi orang UMNO yang merupakan saudara seagama mereka. Merekalah yang menyuburkan syak wasangka, merekalah yang membarakan api fitnah, dan mereka jugalah yang membaja benih-benih kebencian.

Sutera dilipat habis dicuci
Tersimpul kemas di dalam laci
Kalau hati berkarat benci
Terpacul di mulut nista dan caci

PEMBANGKANG TIADA PERSEFAHAMAN, TIADA MUAFAKAT

Saudara dan saudari yang saya hormati sekalian,

PAS dan DAP masih tebal dengan sentimen kaum dan agama. Mereka masih sangat berbeza dari segi ideologi dan pendirian politik. Setelah bertarung sesama sendiri, kini PAS dan DAP melakonkan sebuah pengkisahan kerjasama politik yang cuba ditiru daripada kejayaan Barisan Nasional. Hakikatnya, watak-watak dan pelakon utama semuanya mahu menguasai plot dan jalan cerita, serta menjadi teraju. Sehingga ke hari ini PAS dan DAP sentiasa bersengketa, bertelagah dalam tiap perkara, dan bercakaran kerana ideologi yang jelas berbeza.

Mari kita lihat tiga senario di tiga buah negeri yang diperintah oleh mereka. Di Pulau Pinang misalnya, DAP tidak mahu berkongsi kuasa pun dengan PAS. Walaupun PAS mempunyai satu kerusi dalam Dewan Undangan Negeri, wakil rakyat PAS sehingga kini tidak dilantik sebagai Exco Kerajaan Negeri. DAP sebaliknya lebih rela menyerahkan portfolio agama kepada PKR. Walhal, sebagai parti yang mengaku memperjuangkan Islam, wakil rakyat PAS lah yang sepatutnya diberikan kepercayaan oleh DAP, untuk menjaga hal ehwal Islam di Pulau Pinang. Nampaknya, DAP tidak percaya kepada PAS.

Di Kedah pula, wakil rakyat tunggal DAP tidak berada dalam barisan Exco Kerajaan Negeri yang dikuasai oleh PAS. Hari ini, apabila kerajaan PAS Kedah membuat peraturan atau dasar yang condong kepada Islam, yang menentang bukannya wakil rakyat BN, tetapi DAP. Ini membuktikan bahawa DAP bukan sahaja tidak mahu berkongsi kuasa dengan PAS, malah menentang dasar Islam PAS.

Di Selangor, seorang Exco PAS dan Exco DAP pernah bertelagah mengenai penguatkuasaan undang-undang Islam di negeri itu. Bagi parti DAP yang sekular, bukan sahaja hudud tidak patut dilaksanakan, malah undang-undang pencegahan maksiat yang termaktub dalam enakmen undang-undang Islam negeri juga tidak wajar dilaksanakan. Akibat pertelagahan ini, Exco PAS berkenaan dipecat dari Exco Kerajaan Negeri dan parti, dan portfolio agama Islam yang sebelum ini dipegang oleh beliau, diambil alih oleh Menteri Besar dari PKR.
Ternyata, PAS hanya melukut di tepi gantang. PAS tidak berkongsi kuasa dengan DAP dan PKR. Sebaliknya, kuasa yang sepatutnya diberikan kepada PAS dirampas oleh DAP dan PKR. Sungguh malang bagi PAS. Bagai kisah si lebai malang. Di sini tak dapat, di sana pun melepas. Bak kata orang Pulau Pinang, Balik Pulau Bayan Lepas, Sini Terpelau Sana Terlepas. PAS berhempas pulas menarik sokongan orang Melayu, tetapi akhirnya yang berkuasa ialah DAP dan PKR. Bagi DAP dan PKR, PAS hanyalah kuda tunggangan, tukang sorak dan tukang takbir untuk mereka merebut kuasa.

Saudara dan saudari,

Cuba kita bayangkan, jika sekarang pun PAS tidak mempunyai tempat dalam pakatan pembangkang, apakah ada jaminan bahawa PAS boleh menegakkan Islam menerusi pakatan pembangkang? Saya pasti saudara dan saudari yang berada di dalam dewan ini, dan juga tuan-puan yang mengikuti ucapan saya di luar sana, tahu apa jawapannya. Tidak mungkin PAS boleh menegakkan negara Islam. Sebab itulah awal-awal lagi sekarang ini, PAS sudah mendendangkan lagu negara berkebajikan, bukan negara Islam.

Selama ini pun PAS sedar, sepanjang 12 kali pilihanraya umum, bilangan kerusi yang mereka tandingi kebanyakannya kurang separuh daripada jumlah keseluruhan kerusi di Parlimen. Misalnya, dalam pilihanraya tahun 1969, PAS bertanding di hanya 62 daripada 144 kerusi Parlimen, tahun 1990 bertanding di 29 daripada 180 kerusi parlimen, tahun 1995 bertanding di 59 daripada 192 kerusi parlimen, tahun 1999 bertanding di 59 daripada 193 kerusi parlimen, tahun 2004 bertanding di 85 daripada 219 kerusi parlimen, dan tahun 2008 bertanding di hanya 66 daripada 222 kerusi parlimen.

Ironinya, jika PAS menang di semua kerusi yang ditandingi sekalipun, PAS tidak boleh membentuk kerajaan untuk menegakkan negara Islam seperti yang dicanangkan. Apatah lagi, pencapaian terbaik PAS ialah memenangi 26 kerusi dalam pilihanraya umum 1999. Saudara-saudari, PAS hanya menang semua kerusi yang ditandingi sewaktu berada dalam Barisan Nasional dalam pilihanraya 1974. Manakala, dalam semua pilihanraya yang lain, jumlah kerusi yang PAS kalah lebih besar daripada jumlah kerusi yang dimenangi.

Berbeza dengan UMNO, sepanjang sejarah pilihanraya di negara kita, jumlah kerusi yang kita tandingi dan menang dalam pilihanraya membolehkan kita menjadi parti teras dalam kerajaan. Dengan kedudukan ini, UMNO mampu melaksanakan dasar-dasar yang selaras dengan perjuangan parti berlandaskan musyawarah dengan parti-parti komponen dalam Barisan Nasional.

Mungkin PAS akan mengatakan kepada kita tidak mengapa bertanding sejumlah kerusi yang kecil, kerana nanti ahli-ahli parlimen PKR dan DAP akan menyokong mereka untuk menegakkan Islam. Janganlah bermimpi di siang hari. Janganlah berbohong kepada pengundi. Jauh panggang dari api. Takkanlah DAP yang rasis lagi cauvinis, takkanlah PKR yang rosak lagi merosakkan, akan menyokong usaha PAS untuk menegakkan Islam. Cukuplah. Cukuplah sepanjang 12 kali pilihanraya, 12 kali PAS berbohong kononnya parti itu berjuang untuk menegakkan Islam. Janganlah kita biarkan PAS berbohong lagi untuk kali ke-13.

Dengan kedudukan PAS yang lemah, agak pelik bagi kita apabila dalam Muktamar PAS baru-baru ini, ada perwakilan parti itu yang mencadangkan Presiden mereka sebagai calon Perdana Menteri pakatan pembangkang. Seperti yang kita jangka, DAP awal-awal lagi tidak bersetuju Presiden PAS menjadi calon Perdana Menteri. Persoalannya, bolehkah Presiden PAS menjadi Perdana Menteri jika jumlah kerusi yang ditandingi dan dimenangi oleh parti itu adalah kecil, dan DAP pula tidak menyokong mereka? Tentu sekali jawapannya tidak boleh.

Jika tidak boleh, dan saya pasti mereka pun tahu ianya tidak boleh, mengapa dikemukakan juga cadangan itu? Bagi kita ini menunjukkan bahawa ahli-ahli akar umbi PAS tidak meletakkan kepercayaan kepada DAP atau PKR untuk mengetuai pakatan pembangkang. Mereka tidak percaya kepada Lim Guan Eng. Mereka tidak percaya kepada Lim Kit Siang. Mereka juga tidak percaya kepada Karpal Singh. Mereka langsung tidak percaya kepada Anwar Ibrahim. Ini adalah satu kegagalan besar bagi PAS dalam membentuk kerjasama dan berkongsi kuasa dengan DAP dan PKR.

Sebenarnya saudara-saudari, konsep berkongsi kuasa tidak pernah wujud dalam pakatan pembangkang. Mandat rakyat yang diberikan kepada mereka dalam pilihanraya yang lalu untuk mememerintah beberapa buah negeri adalah satu hikmah yang mendedahkan kepada kita bahawa mereka sebenarnya tidak boleh bekerjasama dan berkongsi kuasa. Satu sebab yang paling utama ialah tiadanya sikap saling mempercayai antara mereka. PKR tidak percaya kepada DAP, DAP tidak percaya kepada PKR, dan kedua-dua DAP dan PKR tidak percaya kepada PAS.

Cuba bayangkan saudara-saudari, jika masing-masing tidak percaya antara satu sama lain, bolehkah pembangkang bermuafakat sesama mereka? Bolehkah pembangkang memerintah negara dengan aman? Bolehkah pembangkang membawa kesejahteraan kepada rakyat? Boleh atau tidak saudara-saudari? Jika tidak jawapannya, pastikan kemenangan berpihak kepada kita dalam pilihanraya nanti.|Jangan kita serahkan negara kita ini untuk diporak-perandakan oleh pembangkang.

CABARAN IDEOLOGI: ISLAM, KEBEBASAN DAN DEMOKRASI

Saudara dan saudari yang saya hormati sekalian,

Kita sedang berhadapan dengan tentangan ideologi baru. Kononnya atas nama kemunculan politik baru, politik pembebasan, politik global, politik kuasa ketiga, wacana hak dan kebebasan individu mengatasi lingkungan agama, budaya dan moral. Di kalangan parti-parti politik tertentu, mereka akan mengutip apa sahaja ideologi yang memberi kelebihan kepada mereka, hatta berkongsi ideologi songsang sekalipun.

Di peringkat antarabangsa, telah muncul kumpulan yang memperjuangkan ideologi songsang yang berteraskan pemikiran sekular liberal yang bertentangan dengan agama. Misalnya, kumpulan yang memperjuangkan hak golongan lesbian, gay, biseksual dan transgender yang dianggap sebagai kelompok minoriti yang tertindas. Undang-undang negara yang hanya mengiktiraf perkahwinan antara lelaki dan wanita dianggap oleh kumpulan ini sebagai tidak adil, malah zalim kepada mereka.

Hari ini, mereka semakin berpengaruh. Banyak kerajaan menerima tekanan supaya mengiktiraf hak golongan songsang untuk melakukan perkara yang ditegah oleh agama. Mereka turut melobi supaya hak golongan songsang ini dimasukkan dalam Deklarasi Hak Asasi Manusia Asean di Sidang Kemuncak Asean di Phnom Penh baru-baru ini.

Alhamdulillah, Malaysia di bawah kepimpinan YAB Dato’ Seri Mohd. Najib Tun Razak menolak keras cadangan ini, kerana bagi kita amalan yang bertentangan dengan prinsip agama dan fitrah manusia tidak boleh dibiarkan berleluasa. Bayangkan, apa yang akan terjadi kepada anak-anak kita, keluarga kita, masyarakat kita dan agama kita jika amalan songang ini dibiarkan menular. Kita bersyukur, negara-negara Asean lain bersetuju dengan pendirian Malaysia, dan cubaan untuk mengiktiraf amalan yang bertentangan dengan prinsip agama, moral dan fitrah manusia sebagai satu hak gagal.

Saudara-saudari yang saya hormati sekalian,

Di negara kita, ideologi songsang ini sudah menembusi benteng politik pembangkang. Kerana itu, sejak akhir-akhir ini kita lihat pandangan Ketua Pembangkang agak bercelaru. Satu ketika, beliau tanpa segan dan silu mengeluarkan kenyataan bahawa undang-undang jenayah negara kita yang menghalang perlakuan liwat adalah satu undang-undang yang kolot. Sedangkan kita semua tahu bahawa perbuatan terkutuk itu ditegah oleh Islam, dan juga oleh agama-agama lain. Jika undang-undang itu kolot, maka apakah Ketua Pembangkang hendak mengatakan bahawa hukum Allah juga kolot? Janganlah kerana perlakuan songsang ini dibenarkan di Barat, dan diterima sebagai hak asasi manusia oleh mereka, maka dia pun turut hendak menghalalkannya.
Selain itu, baru-baru ini kita juga dikejutkan oleh kenyataan seorang Naib Presiden PKR. Atas nama kesamarataan hak, beliau mengatakan orang Melayu yang beragama Islam juga wajar diberikan hak kebebasan beragama, sepertimana yang diamalkan oleh penganut-penganut agama lain. Sedangkan kita tahu bagi umat Islam, seluruh kehidupan kita dipandu oleh syari’at Allah. Tidak mungkin hak untuk murtad boleh terpakai untuk umat Islam.

Saudara dan saudari yang saya hormati sekalian,

Inilah sisi hodoh ideologi demokrasi dan kebebasan yang cuba dibawa oleh pakatan pembangkang. Mereka cuba merungkaikan asas-asas agama Islam yang telah terpahat kukuh di dalam al-Qur’an dan al-Sunnah. Perkara seperti ini tidak pernah berlaku di negara kita sebelum ini. Tidak pernah ada pemimpin Islam yang tergamak bersuara menghalalkan gaya hidup songsang dan murtad. Tetapi hari ini, atas sebab ingin meraih undi dan merebut kuasa, lantaran angan-angan mahu ke Putrajaya, semuanya boleh sahaja.

Inilah sebenarnya bahana besar yang dibawa oleh pembangkang. Kita di dalam UMNO tidak boleh alpa. Ingatlah, UMNO adalah parti yang berjuang untuk menegak dan mendaulatkan Islam. Bangkitlah menjadi benteng mempertahankan masyarakat kita daripada diasak oleh ideologi songsang pembangkang. Jangan biarkan mereka menembusi jiwa anak-anak kita. Jangan biarkan mereka meracuni pemikiran masyarakat kita. Jangan biarkan mereka merungkai asas-asas agama kita. Kita yakin rakyat akan terus bersama UMNO dan Barisan Nasional untuk mempertahankan nilai-nilai murni yang cuba dinoda oleh pembangkang.

Saudara dan saudari yang saya hormati sekalian,

Walaupun pembangkang menjanjikan bulan, bintang, matahari dan cakerawala apabila bercakap mengenai demokrasi dan kebebasan, mereka tidak mengotakan apa yang janjikan. Seperti yang disimpulkan dengan begitu tepat sekali oleh YAB Presiden, antara sisi hodoh budaya pembangkang ialah bila berhutang tak perlu dibayar, bila menerima tak perlu berterima kasih, bila berjanji tak perlu ditepati. Jika saudara-saudari ingat, dalam manifesto pembangkang dahulu, tercatat janji untuk memberikan bermacam-macam kebebasan kepada rakyat kalau mereka berkuasa, termasuk janji kebebasan media.

Namun, belum pun sempat mereka berkuasa, pembangkang telah awal-awal lagi memungkiri janji mereka. Hari ini, apabila ada akhbar yang mendedahkan kepincangan mereka, mereka bergegas ke mahkamah menyaman akhbar berkenaan. Jumlah saman bukannya sedikit. Misalnya, nilai saman mereka ke atas sebuah akhbar arus perdana sejak tahun 2008 mencecah 1 bilion ringgit. Dengan jumlah sebesar ini, pembangkang di negara kita mencipta rekod dunia mengemukakan jumlah saman yang paling besar kepada sebuah akhbar.

Mereka berharap akhbar-akhbar di negara kita tidak lagi berani mendedahkan hakikat kepincangan dan keburukan mereka. Selain itu, pembangkang juga menghalang akhbar-akhbar tertentu daripada membuat liputan di majlis-majlis yang dianjurkan oleh mereka, termasuk di sidang-sidang Dewan Undangan Negeri. Inilah sebenarnya taktik kotor pembangkang untuk menutup kepincangan dan membisukan pengkritik mereka.

Inilah wajah sebenar pembangkang. Apabila terkena batang hidung sendiri, mereka lupa janji, lupa diri, lupa segalanya. Lebih memalukan, mereka lupa bahawa merekalah yang menabur fitnah ke serata dunia bahawa mahkamah kita tidak adil, mahkamah kita berat sebelah, mahkamah kita zalim. Tetapi apabila terdesak, merekalah orang yang paling awal berkejar ke mahkamah untuk mendapatkan perlindungan. Sebenarnya mereka tahu bahawa mahkamah kita boleh memberikan keadilan kepada sesiapa sahaja termasuk mereka. Tetapi kerana niat jahat mereka untuk memberikan gambaran buruk tentang negara kita kepada masyarakat antarabangsa, mereka sanggup menabur fitnah.

Samalah juga dengan tindakan Ketua Pembangkang meminta campurtangan kerajaan asing untuk memastikan pilihanraya kita bersih, bebas dan adil. Dia hendak berbohong kepada dunia kononnya pilihanraya kita kotor. Inilah satu lagi pengkhianatan kepada negara. Semata-mata kerana dengki dan niat jahat terhadap kerajaan Barisan Nasional, dia tergamak meminta campurtangan asing dalam hal ehwal politik negara kita.

Bagi kita, ini hanyalah taktik kotor orang yang bermimpi untuk menawan Putrajaya, awal-awal lagi mengatakan pilihanraya di negara kita tidak adil. Barangkali dia pun sudah tahu bahawa pembangkang akan kalah dalam pilihanraya nanti. Jadi, lebih baik dibuat propaganda awal bahawa pilihanraya negara kita tidak adil, supaya apabila mereka kalah dalam pilihanraya, senanglah untuk mereka menuduh bahawa kita tidak berlaku adil kepada mereka. Senang jugalah untuk mereka berhimpun di jalan-jalan raya bagi menolak keputusan yang telah dibuat oleh rakyat.

Kita fikir lebih baik Ketua Pembangkang menjemput wakil negara asing untuk memerhati pemilihan PKR. Kita hendak tengok apa komen pemerhati asing mengenai PKR. Bersihkah pemilihan PKR? Bebaskah pemilihan PKR? Adilkah pemilihan PKR? Demokratikkah PKR apabila Ketua Pembangkang mengangkat dirinya sendiri menjadi Ketua Umum parti tanpa melalui proses pemilihan? Malah jawatan itu pun tidak ada dalam Perlembagaan parti. Apakah sah kedudukan Ketua Pembangkang dalam partinya sendiri? Perkara seumpama itu hanya boleh berlaku dalam sebuah parti yang dikuasai oleh seorang diktator, bukan sebuah parti yang mengamalkan demokrasi. Daripada Ketua Umum, Presiden, Timbalan Presiden, Naib Presiden, parti itu ibarat Parti Keluarga dan Rakan-Rakan (PKR).

Kesemua ini tidak membayangkan mereka komited untuk melaksanakan janji demokrasi. Sudahlah komitmen kepada Islam semakin luntur, komitmen kepada demokrasi pun tidak ada. Bagi kita, parti-parti pembangkang tidak ada keabsahan moral untuk bercakap mengenai Islam atau demokrasi.

Demokrasi yang sebenar terlaksana apabila kerajaan mendengar rintihan, denyut nadi dan suara hati rakyat, apabila kerajaan melaksanakan dasar yang memenuhi aspirasi rakyat, apabila kerajaan membela nasib rakyat, apabila kerajaan menghapuskan ketidakadilan sosial yang mengancam perpaduan rakyat. Tiada maknanya demokrasi jika masih ada rakyat hidup melarat. Matlamat demokrasi tercapai apabila setiap rakyat dapat mengecap kehidupan yang sejahtera dalam negara yang makmur. Inilah yang diperjuangkan oleh UMNO untuk bangsa Melayu dan seluruh rakyat Malaysia.
JAMINAN UMNO UNTUK BANGSA MELAYU

Saudara-saudari,

UMNO terus komited untuk membela bangsa Melayu. Usaha-usaha untuk meningkatkan taraf sosio-ekonomi orang Melayu diteruskan melalui insiatif-inisiatif yang diputuskan oleh Majlis Tertinggi Agenda Bumiputera yang dipengerusikan sendiri oleh YAB Perdana Menteri. Usahawan-usahawan Melayu dan Bumiputera akan terus diberikan peluang untuk mendapat manfaat limpahan ekonomi yang sedang pesat berkembang. Hari ini, dengan pelbagai inisiatif yang diambil oleh kerajaan menerusi agensi-agensi yang diwujudkan untuk memperkasa agenda Bumiputera, pegangan ekuiti Bumiputera telah meningkat dari 2 peratus pada tahun 1970 kepada 23.09 peratus pada tahun 2010, dengan nilai sebanyak 167.7 bilion ringgit. Ini adalah satu pencapaian yang menakjubkan bagi parti kita dan bangsa kita. InsyaAllah, dengan pelbagai usaha yang sedang dilaksanakan pada waktu ini, kita akan berjaya mencapai sasaran 30 peratus pemilikan ekuiti Bumiputera menjelang tahun 2020.

Begitu juga dengan perjuangan Islam. UMNO tidak pernah menggadai prinsip perjuangan Islam, malah sentiasa berusaha untuk memartabat dan meningkatkan syiar Islam. Sistem pendidikan Islam kita martabatkan, sistem undang-undang Islam kita pertahankan, sistem ekonomi Islam kita majukan. Hari ini dunia melihat Malaysia sebagai contoh negara Islam yang terbaik. Dengan kedudukan negara kita yang agak lebih ke hadapan berbanding negara-negara Islam yang lain, kita dapat pula membantu saudara Islam kita di seluruh dunia. Kita telah membantu saudara kita di Bosnia, di Gaza, di Myanmar dan di mana sahaja mereka memerlukan bantuan kita. Alhamdulillah, berkat kebijksanaan pimpinan negara kita, Malaysia baru sahaja membantu menyelesaikan konflik Bangsamoro di Filipina. Semua ini adalah hasil perjuangan UMNO untuk memartabatkan Islam.

Sepanjang 66 tahun UMNO memperjuangkan Melayu dan Islam, UMNO tidak pernah menganiaya mana-mana kaum. Inilah keadilan UMNO. Inilah kesaksamaan UMNO. Pejuang UMNO tidak perlu merasa berdosa dan bersalah berada di atas landasan perjuangan UMNO. UMNO berjanji untuk terus membela bangsa Melayu dan rakyat Malaysia seluruhnya. Justeru, UMNO akan terus mengangkat suara Melayu di samping tidak melupai agihan keadilan untuk kaum-kaum lain seperti yang dituntut oleh agama. Firman Allah s.w.t. dalam al-Qur’an:

يَـٰٓأَيُّہَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ كُونُواْ قَوَّٲمِينَ لِلَّهِ شُہَدَآءَ بِٱلۡقِسۡطِ‌ۖ وَلَا يَجۡرِمَنَّڪُمۡ شَنَـَٔانُ قَوۡمٍ عَلَىٰٓ أَلَّا تَعۡدِلُواْ‌ۚ ٱعۡدِلُواْ هُوَ أَقۡرَبُ لِلتَّقۡوَىٰ‌ۖ وَٱتَّقُواْ ٱللَّهَ‌ۚ إِنَّ ٱللَّهَ خَبِيرُۢ بِمَا تَعۡمَلُونَ

Wahai orang-orang yang beriman, hendaklah kamu semua sentiasa menjadi orang-orang yang menegakkan keadilan kerana Allah, lagi menerangkan kebenaran; dan jangan sekali-kali kebencian kamu terhadap sesuatu kaum itu mendorong kamu kepada tidak melakukan keadilan. Hendaklah kamu berlaku adil (kepada sesiapa jua) kerana sikap adil itu lebih hampir kepada taqwa. Dan bertaqwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui dengan mendalam akan apa yang kamu lakukan. (Surah Al Ma’idah, Ayat 8)

Saudara dan saudari yang berada di dalam Dewan Merdeka ini, dan juga yang sedang mengikuti ucapan saya di kaca-kaca televisyen, atau di corong-corong radio di luar sana, pak-pak haji yang baru pulang dari masjid, ibu-ibu yang sedang melayani anak-anak di rumah, pemandu-pemandu teksi yang sedang mencari rezeki di kota, para pekerja yang sedang berbakti kepada negara, para anggota keselamatan yang sedang menjaga keamanan kita, mahasiswa yang sedang mentelaah pelajaran di universiti, pemuda-pemuda yang sedang merenung masa hadapan, inilah komitmen UMNO dan Barisan Nasional, inilah janji UMNO dan Barisan Nasional. Kita sentiasa berusaha untuk mentransformasi negara, dan mensejahterakan rakyat tanpa perlu menggadai prinsip perjuangan yang murni. Inilah bezanya antara kita dan pembangkang. Tatkala pembangkang semakin terdesak untuk meraih undi dan merebut kuasa, mereka sanggup melakukan apa sahaja, termasuk menggadai prinsip moral, maruah bangsa dan kesucian agama.

Renungkanlah saudara dan saudari. Tilik betul-betul apa yang dijaja oleh pembangkang dan apa yang dikota oleh UMNO dan Barisan Nasional. Walaupun pembangkang mempamerkan kepada kita bahawa merekalah yang akan membawa sinar kesejahteraan kepada rakyat, janganlah kita terpedaya. Sinar yang mereka janjikan itu ibarat kilauan sekeping kaca yang hanya menanti saat retak dan pecah berderai. Kita pasti rakyat yang matang lagi bijaksana dapat membezakan antara kepalsuan kaca dan ketulenan permata.

BERSAMA MELAKAR KEMENANGAN
Saudara dan saudari yang saya hormati sekalian,

Kita sedang berada di tengah pertarungan politik yang akan menentukan survival parti, masa depan bangsa dan kedudukan negara. Saudara-saudari yang berhimpun ini adalah lambang kekuatan perjuangan di tengah-tengah pertarungan ini. Dalam pusingan terakhir persiapan menghadapi pilihanraya, saudara-saudari di negeri, bahagian dan cawangan telah bekerja kuat untuk memastikan kemenangan UMNO dan Barisan Nasional dalam pilihanraya nanti. Sebagai Timbalan Presiden dan Pengarah Pilihanraya, saya amat menghargai kegigihan, kesungguhan dan pengorbanan saudara-saudari mencurahkan bakti kepada parti tanpa mengenal penat lelah. Percayalah, segala usaha yang dicurahkan oleh saudara-saudari, segala keringat yang menitis ke bumi, akan menyumbang kepada kemenangan UMNO dan Barisan Nasional. InsyaAllah.

Pertingkatkan gerakerja bagi memenangi pilihanraya. Sebagai barisan hadapan jentera parti, Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri adalah pasukan tahan lasak parti. Bergeraklah ke serata pelusuk desa dan kota, harungilah lembah, sungai dan denai, dari Kangar hingga ke Semporna, julanglah panji perjuangan, insyaAllah kita akan mengarak obor kemenangan.

Gerakkan jentera di setiap peringkat. Pastikan mereka bersedia turun ke medan perang apabila semboyan dibunyikan. Atur strategi berkesan untuk menangi hati pengundi. Pujuklah mereka dengan penuh hikmah. Mudah-mudahan dengan izin Allah s.w.t., pintu-pintu hati mereka akan terbuka luas untuk menyokong UMNO dan Barisan Nasional.

Ingatlah, bahawa perpaduan dalam parti adalah kunci utama kemenangan kita. Apabila kita memilih untuk berada di atas landasan perjuangan UMNO, kita bukan bekerja untuk diri kita, tetapi berjuang untuk agama, bangsa dan negara. Perjuangan ini tidak boleh kita lakukan secara bersendirian. Kita memerlukan sokongan dan dokongan rakan-rakan seperjuangan. Bekerjalah dalam semangat kesatuan hati (wahdatul qalb), kesatuan fikiran (wahdatul fikr), kesatuan matlamat (wahdatul hadaf) dan kesatuan amal (wahdatul amal) untuk meneruskan agenda perjuangan parti yang suci.

Yakinlah bahawa kita berada di pihak yang benar. Matlamat UMNO mempertahankan Islam, membela nasib bangsa Melayu, memelihara kedaulatan negara dan mensejahterakan rakyat tanpa mengira kaum dan agama adalah perjuangan suci yang kita galas hingga ke saat ini. Dengan asakan pelbagai dakyah songsang yang merungkai asas-asas agama, yang mencabar maruah bangsa, yang mengancam kedaulatan negara, maka landasan perjuangan suci UMNO mesti kita perkukuhkan.

UMNO di bawah kepimpinan YAB Presiden selaku Perdana Menteri sedang menerajui transformasi yang besar untuk negara kita. UMNO telah merasai denyut nadi rakyat. Menerusi program transformasi kerajaan, ekonomi dan politik, sentuhan pembaharuan UMNO sedang dirasai oleh segenap lapisan masyarakat. Baik petani, nelayan dan pekebun kecil di desa, pemandu teksi dan peniaga di kota, golongan pekerja, profesional dan penjawat awam, kesatuan sekerja dan pertubuhan bukan kerajaan, remaja, belia dan mahasiswa, malahan golongan gelandangan dan kurang bernasib baik, semuanya sedang merasai sentuhan UMNO.

Kita akur bahawa transformasi adalah satu proses yang berterusan. Kita tahu bahawa masih banyak rintangan dan cabaran yang menanti. Walau apapun, demi menjamin masa depan Malaysia yang lebih makmur dan sejahtera, marilah kita redah segala rintangan, kita harungi segala dugaan, kita atasi segala cabaran. Marilah kita berikan sokongan yang tidak berbelah bahagi kepada YAB Presiden untuk memimpin parti dan negara. Marilah kita berikan sepenuh ketaatan kepada khalifah yang akan memimpin bala tentera kita. Firman Allah s.w.t dalam al-Qur’an al-karim:

أَطِيعُواْ ٱللَّهَ وَأَطِيعُواْ ٱلرَّسُولَ وَأُوْلِى ٱلۡأَمۡرِ مِنكُمۡ‌ۖ

Taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasulullah dan kepada "Ulil-Amri" (yakni orang-orang yang berkuasa) dari kalangan kamu.

(Surah Al-Nisa’, Ayat 56)


Kepada Wanita, teruskanlah, perhebatkanlah, semarakkanlah perjuangan menjalin rantaian sokongan. Sebarkanlah kasih sayang UMNO melalui Jalinan Rakyat, Skuad Sayang dan Salam Sayang. Maralah dengan merah yang menyala, tiuplah ia hingga menjadi obor yang menerangi jalan-jalan kemenangan. Wanita UMNO, engkaulah ibu, engkaulah pembimbing, engkaulah srikandi.

Kepada Pemuda, saudara-saudara lah hulubalang benteng hadapan yang akan mempertahankan Putrajaya. Gempurlah musuh kita. Pantang anak muda menyerah. Jangan biarkan walau setapak mereka melangkah. Turunilah ke setiap kota, desa dan lurah. Dekatilah generasi muda dengan hikmah.Berjuanglah dengan tabah. Adat bertarung menjunjung maruah. Membujur lalu melintang patah.
Kepada Puteri, permata yang bergemerlapan, sinarilah generasi muda dengan harapan dan keyakinan. Andalah yang memahami suara hati mereka. Rasailah denyut nadi mereka. Menangilah hati mereka. Bawalah mereka bersama kita dalam perjuangan murni melakari masa depan nusa dan bangsa.

Kita tidak gentar menghadapi cabaran zaman. Perteguhkanlah pendirian kita. Perkukuhkanlah tekad kita. Pertingkatkanlah kebijakasanaan kita. Kita mengajak rakyat tanpa mengira kaum dan agama, agar bersama-sama kita mempertahankan benteng negara daripada ditembusi oleh ideologi songsang, dakyah politik jahat dan budaya sesat yang dibawa oleh pembangkang. Marilah bersama-sama kita mendaulatkan maruah agama, bangsa dan negara. Marilah kita berdoa ke hadrat Allah s.w.t. agar kita diberikan kekuatan untuk menghadapi mihnah dan fitnah zaman. Marilah kita memohon pedoman dari Allah s.w.t. agar ditetapkan hati-hati kita untuk terus berada di landasan perjuangan yang suci ini. Marilah kita memohon hidayah dari Allah s.w.t. agar dilembutkan hati-hati kita untuk menerima seruan persaudaraan dan perpaduan. InsyaAllah pertolongan Allah sentiasa bersama orang-orang yang berjuang di jalanNya.

Firman Allah s.w.t. dalam surah Muhammad, Ayat 7:

يَـٰٓأَيُّہَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوٓاْ إِن تَنصُرُواْ ٱللَّهَ يَنصُرۡكُمۡ وَيُثَبِّتۡ أَقۡدَامَكُمۡ

Yang bermaksud:

Wahai orang-orang yang beriman, jika kamu membela (agama) Allah nescaya Allah membela kamu (untuk mencapai kemenangan) dan meneguhkan tapak pendirian kamu.

Pemuda adalah hulubalang UMNO, Wanita adalah srikandi UMNO, Puteri adalah permata UMNO. Ayuhlah hulubalang UMNO! Ayuhlah srikandi UMNO! Ayuhlah permata UMNO! Rapatkanlah saf perjuangan kita. Berjuanglah dengan penuh ikhlas dan yakin membela agama, bangsa dan negara. Bangkitlah menjulang panji perjuangan. Maralah ke medan perang. InsyaAllah, berkat kesungguhan kita berjuang, berkat kebijaksanaan rakyat membuat pilihan, UMNO dan Barisan Nasional akan melakar kemenangan! Marilah kita sama-sama menadah tangan merafakkan doa:

Bismillahirrahmanirrahim.

Ya Allah!

Jadikanlah perhimpunan ini perhimpunan yang dirahmati
Janganlah engkau leraikan hati kami dari mentaatiMu
Satukanlah hati-hati kami di jalanMu

Ya Allah Ya Tuhan Kami!
Terimalah doa kesejahteraan buat sekalian kami
Jauhkanlah hati kami daripada menjahanamkan sesama sendiri
Kembalikanlah mereka yang tersasar ke jalanMu yang diredhai

Ya Allah
Bimbinglah kami di jalan yang lurus
Redhakanlah jalan perjuangan kami
Tetapkanlah kami di jalanMu Ya Allah

Ya Allah
Engkaulah Tuhan Rabbul Jalil
Engkau kurniakanlah ketabahan di setiap hati kami
Engkau kurniakanlah kekuatan di jiwa kami
Engkau perteguhkanlah daya juang kami

Dengan rahmatmu Ya Allah
Engkau kurniakanlah kemenangan buat kami
fai’za ‘azamta fatawakkal ‘alallah

Hidup UMNO! Hidup UMNO! Hidup UMNO!
Allahu Akbar! Allahu Akbar! Allahu Akbar! Walillahilhamd.

Dengan lafaz Bismillahirrahmanirrahim saya dengan sukacitanya merasmikan Persidangan Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO 2012.

Wabillahi al-taufiq wal hidayah wassalamu’alaikum warahmatullahi wa barakatuh.
Posted in: Perhimpunan Agong UMNO

No comments: