Tuesday, April 10, 2012
Bahaya tuntutan ultra kiasu..
(Utusan Malaysia 28 Mac 2012)
Ahad lalu kita dikejutkan dengan Perhimpunan 325 ultra kiasu sekitar kolej perkauman mereka, ala universiti merdeka di Kajang. Saya tertanya-tanya bagaimana perhimpunan perkauman sebegini diberikan permit. Sepatutnya ISA lah jawapannya. Tetapi kita tidak pernah lakukan. Ini toleransi dan mulianya hati budi pemimpin. Berbanding dengan undang-undang di Singapura, panggilan ‘anjing’ sudah membolehkan seseorang itu dipenjara atau didenda dan beberapa kemudahan ditarik balik. Di negara kita, tiada sebarang tindakan dikenakan walaupun perkataan lebih hina dan lucah digunakan serta sentimen perkauman dimainkan.
Saya telah pergi ke kolej yang dipunyai oleh ultra kiasu ini (tempat perhimpunan) enam tahu lalu. Operasinya langsung tidak mencerminkan identiti kebangsaan, sama seperti kolej di negeri China. Laman webnya pun langsung tidak menggunakan bahasa Melayu. Saya tidak faham bagaimana kolej ini boleh diikhtiraf sebagai salah satu IPTS negara ini. Apa boleh buat, semua telah diluluskan. Kita tidak pernah bertegas, malah semakin tunduk kepada tuntutan dan tekanan. Malang sungguh negara ini, identiti kebangsaan langsung tidak tertonjol,yang menonjol adalah identiti orang lain.
Beberapa laman web ultra kiasu melaporkan perhimpunan tersebut disertai oleh lebih 5000 orang. Manakala akhbar ultra kiasu melaporkan lebih 7000 orang. Angka tidak penting, walaupun sering dimanipulasikan oleh akhbar ultra kiasu untuk menunjukkan mereka hebat. Tidak mustahil bilangannya agak ramai kerana jika pelajar-pelajar dan ibu bapa kolej ultra kiasunya turun, sudah cukup mendapatkan angka tersebut. Pada saya, perhimpunan ini tidak perlu dianggap sebagai satu gugatan. Apa yang penting adalah tindakan pro aktif kita, bukan action oriented, takut kepada mereka. Agenda kebangsaan mesti diperkasakan daripada agenda perkauman komunis mereka.
Tuntutan mereka amat tidak logik dan begitu ektrem. Inilah strategi komunis yang dipakai sekian lama. Walaupun komunis telah tiada, tetapi pemikirannya masih kuat. Tuntut sebanyak-banyaknya, mereka tahu kerajaan tidak akan tunduk. Namun, kerajaan akan beri sedikit. Pemberian sedikit itulah kemenangan terbesar buat mereka. Kerajaan sepatutnya sudah dapat membaca strategi lapok ini. Jangan gentar sama sekali dengan ugutan menjelang pilihan raya. Biar kalah, tetapi bermaruah, daripada menang, tetapi tergadai segala-galanya. Generasi akan datang menderita. Kita akan dikutuk sampai bila-bila
Antara tuntutan kumpulan ultra kiasu ini adalah;
Pertama, segera keluarkan guru Cina yang tidak latar belakang sekolah Cina atau mengambil mandarin dalam sijil SPM.
Kedua, sediakan kursus khas bahasa Cina kepada guru yang mengajar Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris, minima tiga tahun, supaya mereka dapat menguasai ketiga-tiga bahasa ini.
Ketiga, rombak silibus latihan perguruan supaya guru bahasa Cina benar-benar layak untuk mengajar bahasa Cina.
Keempat, rombak akta pelajaran bagi memastikan sekolah vernakular dilindungi dan setaraf dengan sekolah kebangsaan.
Siapakah ultra kiasu ini yang begitu biadab dan kurang ajar, yang begitu berani mencabar kerajaan? Mereka tidak layak hidup di negara bertuah yang memberikan banyak kebebasan sehinggakan identiti negara tidak terserlah. Tuntutan ini amat tidak masuk akal. Sebahagian orang Cina sendiri tidak selesa dengan tuntutan terlalu ultra ini. Justeru, tidak wajar kita salahkan semua orang Cina.
Saya cadangkan ultra kiasu membawa tuntutan yang boleh memporakperandakan negara ini ke negara komunis China. Saya amat yakin, komunis China pun tidak dapat menerimanya walaupun berkaitan dengan agenda bangsa Cina, kerana memberi ancaman kepada keselamatan kerajaan. Tidak perlu pergi jauh, lihatlah berapa ramai yang menjadi korban dalam peristiwa Tiananmen 1989, hanya kerana mereka menuntut kebebasan dan demokrasi? Seramai 400-800 orang (The New York Times) telah menjadi korban dan ribuan cedera. Selain tindakan ketenteraan, kerajaan China telah melakukan penangkapan besar-besaran untuk menyekat kebangkitan penunjuk perasaan dan pengikut pro demokrasi di seluruh China.
Media asing diharamkan dari membuat liputan. Media awam dikawal dalam membuat segala liputan media mengenai kejadian tersebut. Lihat betapa bertuahnya negara ini, media ultra kiasu mempropagandakan isu ini tidak pernah habis dan terus memainkan sentiment perkauman. Kita terus berlembut. Jika adapun tindakan, hanya surat tunjuk sebab dan amaran, pun tidak berani menjentiknya. Kenapa? Takut mereka tidak mengundi kita. Nasihat saya, berilah sebanyak manapun, ultra kiasu tidak akan mengundi kita.
Apa yang dibuat oleh kerajaan kita terhadap perhimpunan perkauman ini? Boleh dikatakan tiada. Mereka terus melakukan provokasi. Jika Kementerian Pelajaran tunduk kepada tuntutan ultra ini, maruah kita berada di tahap yang paling hina dan amat rendah sekali. Jangan terlalu mengharapkan undi sehingga maruah dan harga diri negara ini tergadai. Pentingkan agenda kebangsaan berbanding agenda bangsa. Jika mereka benar-benar ikhlas sudah tentu agenda kebangsaan (bahasa Melayu) dibincang atau dibawa bersekali. Ini tidak, semuanya mesti cina, cina dan cina seperti di negeri China.
Mereka tidak pernah risau sebahagian produk SJKC yang langsung tidak boleh menguasai dan berkomunikasi dalam bahasa kebangsaan. Malah mereka tutup kedua-dua belah mata. Masalah yang dihadapi oleh kementerian pelajaran, langsung tidak mahu diambil tahu. Mereka hanya tahu hak mereka mesti dipenuhi. Hak orang lain langsung tidak dihiraukan. Sedangkan toleransi kerajaan sudah sampai ke tahap maksimum. Tindakan sebegini hanya akan membuahkan dendam.
Dalam pembinaan negara bangsa, tidak salah jika orang Cina kurang sedikit kecinaannya, lebih kepada kemalaysiaannya. Lagipun mereka bukan bangsa majoriti. Barulah betul dikatakan Malaysian first. Saya tidak nampak identiti dan jatidiri orang Melayu dan bumiputera hari ini begitu terangkat dan terdarjat walaupun mereka adalah majoriti. Mereka sanggup berkorban menggadaikan identiti bangsanya, demi menjaga hati orang lain. Namun, madu dibalas tuba. Ingatan saya kepada kerajaan, jangan biarkan pemikiran komunis ini menguasai kita.
Toleransi kita sudah tidak ada tolok banding. Dahulu, terdapat peruntukan Akta Pelajaran 1961 memberi kuasa mutlak kepada Menteri Pelajaran untuk menghapuskan sekolah vernakular. Sebagai menghormati hak bangsa lain, peruntukan ini telah dimansuhkan dalam Akta Pelajaran 1996. Menteri Pelajaran tidak ada kuasa lagi menghapuskan sekolah vernakular. Nampaknya, pemikiran komunis tidak pernah menghargai toleransi kerajaan.
SJKC yang dahulunya dikategorikan sebagai sekolah bantuan modal, hari ini hampir ditanggung sepenuhnya oleh kerajaan. Ini tidak termasuk hampir 400 SJKC yang dibina sepenuhnya oleh kerajaan termasuk bangunan dan tanah. Menjelang pilihan raya, ke mana sahaja Perdana Menteri membuat lawatan ada sahaja SJKC/T baru yang diluluskan. Rumah ibadat janganlah dicerita.
Saya tidak pasti penambahan Sekolah Kebangsaan dan sekolah agama, sebab tidak dilaporkan. Yang pasti, bangsa lain semakin mendapat tempat dan diraikan menjelang pilihan raya umum. Tidak cukup dengan itu, kaduk terus naik junjung, mereka terus mendesak ditambah lagi, seolah-olah tidak pernah cukup, termasuk penambahan Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMJKC) dan Sekolah Persendirian Cina serta sijil-sijil sekolah perkauman (UEC) yang mesti diikhtiraf.
Maka tidak hairanlah, baru-baru ini Kementerian Pengajian Tinggi telah menerima 146 institusi pengajian tinggi di China menjadi kumpulan pertama yang diiktiraf Agensi Kelayakan Malaysia (MQA), susulan Perjanjian Pengiktirafan Seiring (MRA) yang ditandatangani Malaysia dan China pada 28 April 2011.
Antara universiti China yang diiktiraf ialah Universiti Anhui, Universiti Beihang, Universiti Fudan dan Universiti Donghua. Ini tidak termasuk kerjasama dengan Taiwan. Saya tidak menolak akan kerjasama tersebut, tetapi apakah mekanisme seterusnya. Siapakah yang akan belajar di sana? Apakah kritirianya? Menggunakan SPM atau UEC? Bagaimana pemantauan boleh dilakukan dengan lambakan IPTS perkauman yang tidak terkawal terutama kolej ultra kiasu di Kajang itu. Selepas ini dan selama inipun mereka terus mendesak supaya agar graduan-graduan mereka ini diterima memasuki perkhidmatan awam tanpa syarat.
Jika demonstrasi inilah yang mahu dijadikan ukuran untuk menggegarkan kerajaan, saya fikir sekolah agama rakyatpun akan berdemonstrasi juga. Lihatlah dan pergilah membuat lawatan ke sekolah agama rakyat, ibarat segan mati tak mahu. Pernahkah orang Islam membuat tunjuk perasaan seperti ultra kiasu. Sedangkan hak Islam dan orang Islam dijamin dengan jelas dalam perlembagaan, terutama perkara berkaitan dengan pembinaan institusi Islam yang mesti dibiayai oleh negara.
Saya tidak pernah risau majoriti mereka mengejek timbalan menteri pelajaran ketika perhimpunan. Ini sebahagian daripada taktik strategi mereka. Selepas ini perkara ini akan dibawa kepada menteri pelajaran dan diminta menebuskan balik penghinaan tersebut untuk menagih simpati. Akhirnya, kerajaan jadi sedih bersimpati, dan memberikan segala tuntutan mereka. Taktik lapok ini sudah lama saya fahami. Bila tuntutan itu dipenuhi, malah menteri tersebut akan dijulang kembali oleh ultra kiasu.
Bayangkan jika kita tunduk kepada tuntutan tersebut, apakah akan terjadi kepada agenda kebangsaan dan pembinaan negara bangsa. Saya menyeru kepada Umno dan Pas, jangan tunduk kepada ultra kiasu ini. Sama ada dipenuhi atau tidak, tuntutan mereka, mereka tidak akan mengundi Umno (BN) dalam pilihan raya akan datang. Bukti yang ada sudah cukup jelas. Jika diberi, bermaharajalelalah mereka. Jika tidak diberikan pun, mereka masih menang, kerana mereka sudah ada wakil dalam BN dan kerajaan ultra kiasu di beberapa negeri.
Justeru, janganlah lihat demonstrasi ultra kiasu ini sebagai ancaman. Tetapi lihat demontrasi itu sebagai peluang untuk kita memperkasakan agenda kebangsaan, bukannya tunduk kepada pemikiran komunis ini . -
Prof. Madya Dr. Mohd Ridhuan Tee Abdullah
Universiti Pertahanan Nasional Malaysia
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment