Monday, February 13, 2012

lagi cerita Melayu tidak daftar mengundi-(Utusan 13/2/12)

'3.7 juta yang menakutkan'

PIHAK yang bertanggungjawab tidak boleh lagi mengharapkan parti-parti politik, agensi kerajaan atau Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk mendaftarkan pengundi baru. Ini apa lagi untuk memujuk kalangan orang Melayu mendaftar diri.

Bukan niat untuk memperkecil atau memperlekehkan komitmen parti, agensi atau suruhanjaya berkenaan, tetapi kalau dilihat daripada 3.7 juta orang yang layak mendaftar namun tidak berbuat demikian, kita semua maklum majoriti hampir 2 juta ialah orang Melayu.

Untuk orang Melayu, pihak yang akan pergi kepada mereka dalam memujuk termasuk merayu supaya mendaftar tidak lagi boleh bersandarkan kaedah lama - 'anda kena mengundi untuk negara atau di manalah tanggungjawab anda'. Tidak, tidak lagi pendekatan cara itu.

Sebaliknya, mereka kenalah menerjah kedai-kedai kopi, restoran, khutbah-khutbah Jumaat dengan menggunakan saluran-saluran NGO, Jawatankuasa Kawalan dan Keselamatan Kampung atau apa sahajalah cara yang melibatkan sentuhan dari hati ke hati untuk menggesa mereka mendaftar.

Sebab - realitinya politik masa depan Malaysia banyak bergantung kepada orang Melayu, lantaran bilangan mereka sudah melebihi 54 peratus.

Namun malang sekali, sikap sebilangan besar orang Melayu dikesan tidak ambil peduli tentang kepentingan mendaftar sebagai pengundi apabila mencapai usia 21 tahun atau lebih. Padahal mendaftar sebagai pengundi hanya mengambil masa kurang dari 15 minit.

Apatah lagi kali ini meskipun bilangan orang Melayu sudah melebihi 54 peratus tadi namun kaum itu berpecah pula kepada UMNO, Pas dan PKR. Dalam aluran ini, Melayu kena wajib berfikir secara tuntas kalau terus mahu mengepalai kepimpinan kerajaan di negara ini.

Antara yang turut risau dengan sikap longlai lesu orang Melayu bila tiba 'bab mendaftar ini' ialah Mohd. Jurit Ramli yang mengetuai Gabungan NGO Malaysia (GNM) selaku setiausahanya. Beliau mengirimkan coretan menerusi SMS kepada penulis, yang katanya perlu direnung-renungkan oleh orang Melayu.

"Orang Melayu Islam yang tidak mengundi menanggung dosa dan perlu bertanggungjawab atas sebarang kehilangan kuasa orang Melayu dan sebarang penghinaan terhadap Islam apabila orang Melayu kehilangan kuasa politik.

"Ini disebabkan 3 juta orang Melayu yang belum berdaftar, maka seluruh orang Melayu harus bertanggungjawab memberi penjelasan kepada setiap orang Melayu yang tidak mengundi. Rayu dan jelaskanlah kepada mereka," kata Mohd. Jurit yang juga bekas anggota MALBATT yang pernah bertugas di Bosnia Herzegovina dalam kancah perang Balkan pada era 1990-an.

Hakikatnya, kalau diimbas balik kenyataan Pengerusi SPR tempoh hari tentang pendedahannya bahawa sebahagian besar orang Melayu yang layak tetapi enggan mendaftar - memang menakutkan. Alasan terlalu sibuk dengan urusan harian sehingga tiada masa untuk mendaftar dan lebih teruk dan dangkal lagi 'tidak ada perubahan besar akan berlaku dengan hanya satu undi' memang agak sukar untuk diterima rasionalnya.

Jika secara sinis dan kritis, kita boleh sebutkan di sini kepada orang Melayu tentang real politik dan keadaan politik semasa negara yang memang menyaksikan orang Melayu semacam cemas, bimbang dan keliru dengan politik semasa. Kerana itu, orang Melayu harus insaf, sedar tentang masa depan yang tidak menentu dan di kala pecahan parti-parti Melayu ketika ini yang dibimbangi akhirnya akan gagal mempertahankan hak dan keistimewaan Melayu dan agama.

Dan walaupun politik di negara ini sedang merangka pembaharuan atau transformasi, namun kematangan politik dilihat masih pada tahap yang rendah. Dengan jelas lagi - ia masih lagi berada dalam kerangka politik perkauman.

Apabila melihat perkembangan parti tertentu mengatur sokongan kaum Cina termasuk dikatakan berlaku 'penghijrahan atau sebenarnya pemindahan besar-besaran pengundi ke Selangor', maka jelaslah 'mereka' masih berpaksikan kepada politik perkauman yang dimanipulasikan sebagai demokrasi total. Sedangkan BN atau UMNO dikatakan masih terikat kepada perjuangan realiti untuk mengubah negara dengan kemajuan yang lebih pesat.

"Sehingga hari ini, dominan Cina dalam politik semakin terserlah. Kehadiran parti berkenaan dikatakan sudah diterima dan mereka telah dikatakan sebagai pejuang kaum yang lebih signifikan daripada parti-parti komponen dalam BN sendiri," kata seorang pemerhati kepada penulis.

Kata pemerhati itu lagi: "Banyak petunjuk telah ada. Memberi mereka apa yang mereka mahu tidak menjamin sokongan. Dan toleransi Melayu dilihat pula masih di tahap tertinggi dan sanggup sekali lagi akur kepada kehendak.

"Dengan parti terbabit yang semakin jelas membawa sentimen perkauman dan mendapat sokongan kaum Cina, maka BN perlu segera mencari formula bagi mengaut kembali sokongan khususnya orang Melayu bagi mengimbangi sokongan menyeluruh kaum Cina terhadap parti berkenaan."

Realitinya, orang Melayu masih belum terlambat untuk mendaftar diri sebagai pengundi. Tetapi anda kenalah 'bergerak terus ke pejabat pos' mulai pagi ini.

Berdasarkan rekod terkini SPR, dianggarkan kira-kira 300,000 berdaftar sebagai pengundi baru termasuk menukar alamat bermastautin dalam setiap suku tahun. Namun itu bukan bermakna apabila mereka berdaftar, terus serentak atau sekali gus disahkan untuk menjadi pengundi pada PRU13.

Dan katakanlah Parlimen dibubarkan sekitar bulan depan atau April ini untuk memberi laluan kepada PRU-13, maka mereka yang mendaftar dalam suku keempat 2011 akan menjadi pengundi yang paling bernasib baik untuk menentukan pucuk kepimpinan negara masa depan. Tetapi bagi 300,000 orang yang baru berbuat demikian pada Januari, bulan ini dan Mac depan, 'alamatnya wasalamlah'.

Sebabnya, apabila habis pendaftaran dalam tiga bulan ini, nama mereka hanya boleh dipamerkan pada Mei dan pada hujung bulan itu sahaja, senarai nama berkenaan akan disahkan sebagai pemilih berdaftar. Itupun kalau bernasib baik jika nama tidak ada dalam proses bantahan. Dalam erti kata lain, mereka yang baru mendaftar dalam bulan ini (Januari), memerlukan sekurang-kurangnya lima bulan setengah, yakni pada Jun nanti untuk disahkan sebagai pengundi.

Jadi, janganlah kata tidak ada makluman mengenai perkara ini atau sememangnya sengaja tidak mahu cari maklumat. Kalau tiba-tiba Parlimen dibubarkan, jangan nak membising pula.

Realitinya juga, lagi dekat 'tarikh' PRU13, akan lagi banyak proses bantahan terhadap daftar pemilih. Meskipun tarikhnya itu masih belum pasti, namun daftar pemilih mutakhir suku keempat 2011 dan daftar pemilih suku pertama 2012 kini menjadi tumpuan parti-parti politik dan orang ramai di seluruh negara.

Ingatan mengenai peri pentingnya mendaftar sebagai mengundi oleh setiap warganegara telah diperingkatkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Kata beliau, kegagalan rakyat Malaysia mendaftar sebagai pengundi secara langsung telah menafikan hak mereka untuk terlibat dalam proses demokrasi negara.

Perkara itu tidak seharusnya berlaku kerana hak mengundi adalah satu keistimewaan yang diberikan oleh Perlembagaan negara dan semua rakyat wajar menggunakan hak tersebut dengan sebaik-baiknya. Ini penting supaya golongan terbabit tidak ketinggalan untuk turut sama mencorak kerajaan serta menentukan parti yang bakal memerintah pada pilihan raya umum akan datang.

Mohd. Jurit semalam menutup SMSnya dengan kata-kata:

"Wahai ketua keluarga, ibu bapa, ketua kampung, ketua jabatan, polis dan tentera, kedai kopi, surau, masjid dan khutbah.

"Ini (mendaftar sebagai pengundi) tuntutan amanah. Janganlah diharapkan apa-apa bayaran tetapi haraplah ganjaran pahala di atas usaha ini. Berjihad ke jalan Allah."



Oleh ZULKIFLI JALIL
pengarang@utusan.com.my

Thursday, February 9, 2012

Melayu dan SPR.



Orang Melayu paling ramai tidak daftar mengundi! Pendedahan Pengerusi Suruhanjaya Pilhan Raya (SPR), Tan Sri Abdul Aziz Mohd. Yusof itu sebenarnya bukan satu kejutan besar kerana situasi itu telah diketahui umum selama ini.

Sememangnya orang Melayu memandang remeh pendaftaran mengundi mahupun hak mengundi pada pilihan raya kerana masih dibuai mimpi siang bahawa bumi yang dipijak ini akan kekal di tangan mereka sehingga ke anak cucu.

Masih ramai daripada 3.7 juta orang Melayu yang layak mengundi enggan melihat apa yang berlaku di negara jiran ke utara dan selatan Semenanjung, dimana orang Melayu setempat bagaikan pendatang di tanah tumpah darah mereka sendiri.

“Apabila hilangnya kuasa politik dan tiada kemampuan ekonomi, maka Melayu di negara jiran hanya menumpang mencari makan daripada ‘tuan tanah baru’ seperti mana penduduk pribumi di Amerika Syarikat, Australia, New Zealand dan banyak lagi negara yang dijadikan koloni penjajah dari barat.

Walaupun negara ini belum tergadai, namun telah jelas ada negeri, kawasan Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang telah diambil alih akibat kealpaan orang Melayu yang tidak mahu mendaftar mahupun mengundi.

“Melayu bumiputera yang menjadi majoriti melebihi 60 peratus penduduk negara ini sepatutnya dengan mudah menentukan hala tuju politik Malaysia. Tetapi, akibat mengambil mudah proses pendaftaran dan mengundi, kaum minoriti yang sedar akan hak mereka selaku pengundi mampu menguasai kawasan yang majoriti penduduknya orang Melayu.

Ditambah pula perpecahan antara orang Melayu sendiri, maka semakin banyak kawasan yang majoriti penduduknya Melayu akan dikuasai orang bukan Melayu dalam pilihan raya, sejajar dengan sistem demokrasi yang melihat kepada jumlah undi dan bukannya kaum majoriti.

‘Jatuhnya’ sesuatu kawasan Melayu itu kepada bukan Melayu akan mengundang kesan berangkai diperingkat DUN, Parlimen, negeri dan akhirnya Negara.

Lihat sahaja bandar-bandar besar kini politiknya sudah dikuasai bukan Melayu sedangkan tidak kurang jumlah Melayu dan bumiputera yang tinggal dan bekerja disana. Orang Melayu pula kelihatan hanya memegang kawasan kampung dan pedalaman.

Jelas dan nyata, bumi yang dipijak tidak semestinya kekal milik Melayu jika terus dibuai mimpi siang hari dan tidak menjalankan tanggungjawab mereka.

Bagi tokoh akademik, Tan Sri Ibrahim Abu Shah, sikap mengambil mudah urusan mendaftar dan mengundi ini merugikan bangsa sendri terutamanya sekarang dimana ramai yang tidak faham yang negara boleh jatuh ke tangan bukan Melayu.

“Saya tidak faham kenapa sikap begitu masih berterusan dalam kalangan orang Melayu sedangkan anak-anak orang bukan Melayu di luar negara sanggup balik semata-mata untuk mengundi.

“Mereka tahu susahnya mendapat hak mengundi sementara orang kita terus pandang remeh dan tidak mengambil berat pentingnya satu undi kepada bangsa dan negara,” katanya.

Menurut beliau, golongan yang ‘tidak kisah’ ini tidak dapat melihat kesan tindakan mereka kepada negara terutamanya yang akan ditanggung generasi berikutnya kelak.

Jelasnya, melihat kepada pakatan tiga parti pembangkang menunjukkan pengaruh kuasa dan kerusi lebih dipegang bukan Melayu terutamanya kini dengan ada sebilangan Melayu sendiri yang menyokong DAP.

“DAP cukup condong kepada sistem pemerintahan republik. Jika mereka menjadi ketua atau mempengaruhi kerajaan baru jika pembangkang menang, parti-parti Melayu yang lemah akan digunakan untuk kawal negara.

“Singapura mungkin dibawa masuk kembali bagi mengurangkan majoriti Melayu, tiada lagi raja-raja, Perlembagaan dipinda, Islam bukan lagi agama rasmi dan habislah ketuanan Melayu dan maruah diri kita,” tegasnya.

Tambahnya, tidak mustahil juga Perdana Menteri kelak bukan orang Melayu mahupun Islam seperti mana pernah dijadikan ikrar di Pulau Pinang dan disebut bekas Perdana Menteri Singapura, Lee Kuan Yew.

“Mungkin ramai tidak percaya ini semua boleh berlaku tapi lihat sahaja situasi kini. Sudah ada orang Melayu sendiri yang sokong cadangan Perdana Menteri bukan Melayu. Oleh itu, jangan ambil mudah kesan setiap undi milik orang Melayu. Sebelum terkena, sedarlah sikit agar tidak menyesal dikemudian hari,” ujarnya.

Selain itu, beliau turut menegur usaha UMNO terutama diperingkat cawangan yang dilihat kurang menumpukan masa dan usaha dalam menarik golongan muda mendaftar dan mengundi.

“Mungkin maklumat yang saya terima ini kurang tepat tetapi cawangan-cawangan UMNO kurang atau tidak bergerak sekuat parti pembangkang dalam menarik pendaftaran dan undi orang muda.

“Jentera cawangan tentu tahu anak siapa belum mendaftar dalam kawasan mereka. Berbeza dengan apa saya lihat di Subang dimana sekumpulan anak muda bukan Melayu membuka meja pendaftaran dan orang Cina paling ramai mendaftar,” katanya.

Ketua Kluster Politik, Keselamaatan dan Antarabangsa Majlis Profesor Negara, Profesor Datuk Dr. Mohamed Mutafa Ishak pula melihat masalah tersebut mungkin bermula dari sekolah atau universiti yang tidak menerapkan pentingnya mendaftar dan mengundi.

“Masalah utama mungkin tidak cukup kesedaraan dikalangan orang muda selepas meninggalkan alam persekolahan atau universiti. Selain mengikuti urusan kerja dan pelajaran, orang muda perlu mengikuti perkembangan politik dan tidak boleh melupakan tanggungjawab mereka dengan mendaftar dan mengundi,” ujarnya.

Beliau turut menyatakan orang Melayu memang dikenali dengan keghairahan semangat berkobar-kobar bila bercakap tentang politik tetapi lain pula jadinya bila waktu menjalankan tanggungjawab masing-masing. Orang Melayu kadang-kadang melebih sampai berpecah-belah dan putus saudara akibat politik tapi butanya lain (daftar pengundi).

“Kita kena beringat dan tidak boleh selama-lamanya berada dalam zon selesa. Sudahlah berpecah-belah, jumlah pengundi Melayu pun kurang, yang akan tanggung akibatnya kelak adalah generasi akan datang yang akan meneruskan apa yang kita ada,” jelasnya.

Beliau menegaskan jika orang Melayu terus tidak ambil peduli peranan dan tanggungjawab dalam menentukan hala tuju dan nasib bangsa, tidak guna lagi menyesal kelak bila apa yang dimiliki lenyap akibat kealpaan mereka sendiri.

“Orang Melayu perlu berfikiran strategis dalam mengambil peranan politik. Orang dahulu tidak belajar tinggi tapi semangat mereka tinggi dalam menjalankan tanggungjawab mengundi. Tiada alasan lagi bagi orang sekarang terutama glongan muda kerana semua proses pendaftaran pengundi telah dipermudahkan. Jika terus leka, kuasa politik bangsa akan semakin terancam,” tegasnya.

Terompah berkata: Sokongan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim kepada rejim Israel akan menentukan corak pemerintahan negara kelak jika pembangkang menang dan Singapuara mungkin kembali menyertai Malaysia. Singapura mempunyai pengaruh Israel yang kuat termasuk kuasa tenteranya. Jika mereka kembali dibawah pimpinan pembangkang, orang Yahudi juga akan ada pengaruh keatas negara kita kelak. Jika ketika itu Melayu mahu memberontak, ‘polis dunia’ akan sekat dengan alasan ‘undian adil telah dibuat melalui pilihan raya’, maka mati kataklah kita.:(- Terompah besi)