Monday, August 23, 2010

Kisah Orang yang tidak kenang budi...itulah tajuk sesuai

Belajar daripada bangsa berjaya

Pantang ada bukan Melayu yang cuba memuji Melayu (Islam) dan dasar kerajaan, pasti akan dihentamkan oleh ultra kiasu. Terbaru, pemaju hartanah utama negara SP Setia Berhad, sebangsa dengan saya, dikutuk rapat golongan ultra kiasu melalui kenyataan yang agak pro kepada dasar kerajaan seperti Dasar Ekonomi Baru (DEB). Kenyataan beliau yang mahukan bukan Melayu bersyukur atas dasar hari ini yang turut menguntungkan mereka, amat tidak disenangi oleh laman web ultra kiasu. Itulah wajah mereka sebenarnya. Tidak pernah bersyukur, pada masa sama terus mengaut keuntungan dari apa yang ada dan dimanfaatkan.

Logik yang diberikan untuk mengatakan bahawa orang bukan Melayu sudah jauh meninggalkan orang Melayu amat jelas. Pertama, terdapat lebih syarikat milik bukan Melayu yang tersenarai dalam Bursa Malaysia berbanding bumiputera. Kedua, statistik majalah Forbes menunjukkan masyarakat Cina telah telah berjaya sejak 30 tahun lalu. Ketiga, syarikat-syarikat dikuasai Cina mewakili 37 peratus pasaran modal di antara 100 syarikat Malaysia yang disenaraikan, berbanding tujuh peratus kalangan orang Melayu. Keempat, individu kaum Cina menguasai 73 peratus kekayaan yang dimiliki 40 orang terkaya di Malaysia dan lapan dari setiap 10 orang kaya adalah Cina.

Persoalannya, adakah orang Cina dilayan dengan buruk? Kata pemaju itu lagi, bukan Melayu (Cina) mesti belajar untuk memberi. Kita mesti belajar untuk mengambil satu langkah ke belakang. Kita juga harus belajar untuk hidup bersama budaya dan pemikiran mereka. Orang Melayu masih bimbang bahawa rakan niaga Cina menggugat perniagaan mereka jika tiada dasar pro-Melayu yang melindunginya.

Jika yang memberi pandangan itu adalah kalangan bukan sebangsa, saya tidak fikir ia akan dihentam. Tetapi dek kerana beliau sebangsa dengan saya, maka komen buruk dan negatif ke atas dirinya tidak pernah habis. Peribadinya dicemuh dan dihentam. Inilah nasib yang menimpa diri kami, bercakap sedikit menyebelahi Melayu, Islam dan beberapa dasar kerajaan, seluruh keturunan dihina dan dikeji. Kenapa bukan hujah yang telusuri dan didiskusi?

Selama inipun saya telah banyak bercakap, dasar kerajaan yang menyebelahi Melayu (bumiputera) memang menguntung bukan Melayu, sebab Melayu adalah pelanggan, manakala bukan Melayu adalah pengeluar (pembekal). Seramai manapun pengusaha Melayu muncul, mereka masih bergantung kepada bukan Melayu. Itulah hakikat yang sebenarnya. Justeru, tidak timbul isu 30 peratus peruntukan ekuiti kepada bumiputera untuk dikongsikan. Peruntukan tersebut adalah kecil berbanding dengan populasinya melebihi 60 peratus.

Kajian demi kajian telah dibuat, termasuk sarjana bukan Melayu seperti Tan Teong Jin, Ho Wah Foon dan Tan Joo Lan (2005) akan keberuntungan bukan Melayu melalui polisi ini. Namun, ultra kiasu tetap ultra kiasu. Apa yang kerajaan cuba buat semua tidak betul. Kerajaan Selangor dan Pulau Pinang sahaja yang betul kerana didakwa mengikut urus tadbir Umar Abdul Aziz sehingga mencairkan kita. Kerajaan Kedah dan Kelantan masih dalam perhatian, ditakuti terlalu keislaman, kerana masih tidak mengikut rentak ultra kiasu sepenuhnya. Dengan sebab itu, mereka agak membisu apabila kerajaan Kelantan cuba memperkenalkan penggunaan dinar emas. Logiknya, dinar mempunyai kaitan dengan Islam.

Jika ultra kiasu pro-Islam dan mahu mengikut urus tadbir Khalifah Umar Abdul Aziz, sudah tentu hasrat murni kerajaan Kelantan akan disokong awal-awal lagi. Tetapi nampaknya mereka begitu berhati-hati dalam hal ini. Dengan sebab itu, saya amat ragu-ragu dengan idea mencontohi urus tadbir Umar Abdul Aziz.

Apa yang berlaku di Sibu, Sarawak semakin mencurigakan saya. Misalnya, tindakan pertubuhan ultra kiasu di bahagian Sibu yang mahu menukar nama Sibu kepada nama asalnya, kononnya Shi Wu. Kenapa baru sekarang nama Sibu mahu ditukar? Lagipun makna Shi Wu tidak membawa makna yang baik, merujuk kepada ahli sihir wanita. Nama Sibu sudah lama terpahat dan mudah disebut, tanpa berbelit-belit lidah. Saya cadangkan golongan ini bacalah sejarah pribumi Sabah dan Sarawak. Jika terlalu sukakan nama-nama berasaskan bangsa, tampallah nama-nama warisan bangsa di sekeliling rumah, tidak siapa yang menghalang. Tetapi janganlah melakukan sesuatu yang ultra di hadapan khalayak. Baru mencapai sedikit kemenangan dalam pilihan raya baru-baru ini sudah begitu berani. Bayangkan jika mereka berjaya memerintah negara sepenuhnya. Saya mohon kita semua bukalah mata dan bukalah minda.

Golongan ini selalu mendakwa mereka memperjuangkan kepentingan semua kaum, hakikatnya mereka amat berbau perkauman. Janganlah kerana ada seorang dua orang Islam Melayu yang diambil bekerja dalam syarikat atau pertubuhannya, kitapun mendabik dada dengan mengatakan kita berjuang untuk semua. Kemudian, secara halus atau secara diam merampas hak orang lain.

keistimewaan

Terbaru, saudara ipar saya telah pergi ke sebuah syarikat perumahan ultra kiasu untuk membeli rumah di bawah kuota bumiputera bagi melayakkan beliau mendapat diskaun tujuh peratus, keistimewaan yang didakwa oleh parti ultra kiasu yang mesti dihapuskan. Setelah pergi ke sana, maka ditunjukilah rumah diskaun tujuh peratus di bahagian simpang tiga, lokasi yang sudah tergolong dalam kategori tidak terjual kerana dianggap sebagai lokasi sial.

Inilah keistimewaan tujuh peratus yang kerap kali dibangkitkan. Lokasi sial yang ditinggalkan kepada bumiputera untuk mendapatkan diskaun. Ditanya lagi, tidak adakah lokasi yang lebih sesuai. Maka ditunjukkan oleh pekerja-pekerja ultra kiasu tersebut semua tempat telah penuh, walaupun rumah tersebut masih belum dibeli atau masih belum ada yang punya. Selepas itu, mereka akan membuat laporan bahawa kuota bumiputera tidak terjual.

Lihatlah betapa liciknya perancangan segelintir mereka. Kemudian perkara ini diperbesar-besarkan dengan harapan diskaun tersebut dihapuskan. Baru hati puas. Sebenarnya keistimewaan tujuh peratus tersebut hanya dalam kertas. Sudah tidak ada keistimewaan yang sebenarnya. Persoalannya kenapa mereka terus mendesak untuk dihapuskan?

Sama juga isu yang selalu dijadikan hujah iaitu kuota biasiswa belajar di dalam atau di luar negara dan peluang kerja dalam perkhidmatan awam. Kita sengaja tidak mahu melihat dari sudut sebaliknya, tetapi terus mendesak supaya semua ‘keistimewaan’ tersebut dihapuskan. Ramai rakan saya yang menghantar anak-anak mereka menyambung pelajaran keluar negara dengan perbelanjaan sendiri. Alasannya, mereka tidak mahu anak-anaknya terikat kontrak perjanjian apabila mendapat biasiswa.

Itupun masih ramai yang tidak balik apabila tamat pengajian dan terus bekerja di negara asing walaupun biasiswa ditaja oleh kerajaan. Mereka khianat dengan amanah yang telah diberikan. Pada mereka, gaji perkhidmatan awam tidak seberapa berbanding dengan sektor swasta.

Saya tidak pernah mendapat biasiswa ketika belajar bermula dari ijazah pertama hinggalah doktor falsafah. Semuanya menggunakan biaya sendiri. Saya tidak terikat dengan kontrak. Namun ultra kiasu menuduh semua pembelajaran saya ditaja oleh kerajaan sehingga menjadi tali barut UMNO. Tujuan serangan dan fitnah ini dibuat tidak lain, supaya menunjukkan bahawa apabila seseorang beragama Islam, maka dia akan mendapat pelbagai kemudahan, termasuk keistimewaan Melayu dan bumiputera. Fitnah yang tidak benar dijadikan hujah untuk terus mendesak kerajaan membuka dan menghapuskan dasar sedia ada.

Terbaru, menteri di Jabatan Perdana Menteri dalam pertemuan dengannya NGO ultra kiasu mengatakan tidak salah untuk sesiapa pun membangkitkan hak mereka, termasuk sehingga menggugat hak dan kepentingan orang lain. Siapa kata salah? Persoalannya, pandangan yang dibangkitkan itu terlalu ultra kiasu. Itulah yang menjadi masalah.

Tuesday, August 17, 2010

jangan terlalu berani mencabar.......

Pandangan yang berani dan benar....

jangan terlalu berani mencabar.......

Ada orang yang tinggal di bumi bertuah ini langsung tidak bersyukur, malah mempersendakan dan menghinakan kedudukan istimewa agama Islam dan Melayu sebagaimana yang termaktub dalam Perlembagaan.

Saya cadangkan mereka berhijrah ke negara lain, jika negara ini sudah tidak ada lagi kebebasan baginya. Pergilah ke negara asal-usulnya atau ke Barat, kerana di sana lebih banyak 'kebebasan' untuk membina gereja paling besar dan patung paling tinggi di dunia serta, sekolah vernakular, termasuk juga melakukan perbuatan sumbang seperti seks bebas.

Ternyata orang ini amat jahil (mungkin sengaja) dalam memahami Perlembagaan dan asal-usul negara ini atas sikap ultra kiasu. Keadilan baginya adalah sama rata dan sama rasa bukan meletakkan sesuatu pada tempatnya. Apakah orang ini tidak menyedari bahawa bilangan rumah ibadat bukan Islam melebihi berkali ganda daripada masjid dan surau. Pun begitu orang ini masih tidak berpuas hati. Mereka mahukan patung Mazu dan patung-patung lain serta gereja menjadi mercu tanda, terbesar dan tertinggi, barulah dinamakan adil, bertepatan dengan hak kebebasan dan hak asasi manusia.

Saya cadangkan orang ini supaya membawa ideanya itu ke negara Barat, mungkin negara asal usulnya di China. Cadangkan apa yang dimahukan terhadap mereka. Saya amat yakin cadangan orang ini akan 'dibakulsampahkan' sebab tidak masuk akal, kecuali di Malaysia, kerana toleransi ditunjukkan oleh pribumi tidak ada tolok bandingnya. Pergilah ke Kelantan, orang bukan Melayu boleh dikira dengan jari, tetapi mereka memiliki patung Buddha yang begitu besar sekali. Ini belum termasuk Pulau Pinang dan negeri-negeri lain. Masihkah orang ini tidak bersyukur?

Keistimewaan Islam termasuk mengembangkan syiar Islam seperti membina masjid dan surau sudah termaktub dalam Perlembagaan. Namun, kebanyakan surau dan masjid dibina menggunakan peruntukan wang zakat, walaupun tidak salah jika kerajaan mahu menggunakan wang negara. Tetapi untuk mengelakkan kontroversi, pemimpin negara hanya menggunakan harta orang Islam sahaja. Tidak kurang yang membinanya melalui kutipan derma dan sedekah hartawan. Apakah orang ini masih buta mata hatinya? Jangan pula kata kerajaan tidak memberikan peruntukan kepada rumah ibadat bukan Islam.

Seringkali saya timbulkan kenapa perlukan bilangan rumah ibadat yang banyak dan bersaiz tinggi dan besar, sedangkan keperluan penganutnya tidak berapa ramai? Justeru, tidak perlulah gatal tangan membeli dan buka gereja di rumah kedai. Lepas itu salahkan kerajaan kerana tidak membantu membiayainya. Janganlah jadi kafir harbi.

Perlembagaan

Ketika Perlembagaan digubal, kerajaan British telah menubuhkan sebuah Jawatankuasa Kerja yang terdiri daripada wakil kerajaan British sendiri, Penasihat Majlis Raja-Raja dan pemimpin-pemimpin parti. Pada Mac 1956 satu Suruhanjaya Perlembagaan diketuai Lord Reid telah ditubuhkan untuk merangka dan meneliti Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu. Suruhanjaya ini begitu memahami kedudukan Tanah Melayu ketika itu.

Kedudukan pribumi dan pandangan mereka diperhalusi. Maka tidak hairanlah lima perkara utama berkaitan Islam dan pribumi difokuskan seperti kedudukan Raja-Raja Melayu, kedudukan agama Islam, kedudukan bahasa Melayu, kedudukan istimewa orang Melayu dan kerakyatan sama rata. Walaupun Pas menuduh Perlembagaan Reid ini perlembagaan kafir kerana kerjanya suka mengkafir, ruang untuk Islam dan pribumi berkembang begitu besar, dengan tidak menafikan hak bukan Islam. Kelebihan yang dinikmati oleh Islam dan pribumi inilah yang menimbulkan kedengkian dan rasa tidak puas orang ini dan ultra kiasu yang lain.

Mereka sengaja tidak mahu sedar bahawa dengan kelebihan ini juga, mereka beroleh keuntungan. Aktiviti keagamaan mereka tidak pernah disekat, malahan mereka bebas untuk mengamalkannya tanpa diganggu-gugat. Sedih juga kadangkala melihat umat Islam sembahyang jumaat berjemur sehingga ke jalan raya disebabkan saiz masjid yang tidak dapat menampung keperluan jemaah. Itupun masih dipertikaikan.

Pertikaian mengenai status agama Islam seolah-olah tiada penghujung walaupun ia amat sensitif. Orang ini tidak setuju dengan mata pelajaran agama Islam yang diajar di sekolah dan budaya berdoa ketika perhimpunan seminggu sekali yang tidak sampai tiga minit pun. Terlalu bersifat Islam dan Melayu katanya. Sekiranya ini pun dicabut, apakah yang masih tinggal? Apa guna Perlembagaan? Sebagai ganti pelajar bukan Islam boleh mempelajari mata pelajaran bahasa ibunda dan pendidikan moral yang sudah diselitkan serba sedikit ajaran agama lain. Tidak cukupkah? Beri betis nakkan peha.

Satu sahaja yang saya pinta agar orang ini dan sekutunya, beramal dengan ajaran agama mereka dengan menjauhi judi, arak, zina, seks bebas dan lain-lain. Barulah aman negara ini.

Cuba siasat silibus mata pelajaran di negara China dan di India, adakah matapelajaran agama Islam diberikan hak kepada minoriti umat Islam Cina di sana? Sudah tentu tidak. Malah mereka ditindas. Begitu juga di negara Barat, berdoa mengikut ajaran Kristian adalah perkara biasa. Umat Islam di sana diam sahaja kerana mereka tahu itu bukan negara asal mereka. Kenapa mahu mempertikaikan bacaan doa dalam sebuah negara Islam?

Adakah dengan amalan doa tersebut, hati orang bukan Islam akan cair lantas memeluk Islam? Benci sungguh orang ini terhadap Islam. Doa adalah salah satu amalan budaya orang Melayu Islam. Takkan kita mahu hapus semua identiti pribumi semata-mata mahu meraikan orang lain. Jika begitulah keadaannya, tukar sahaja nama Malaysia kepada Cinasia atau Indiasia. Pelik sungguh spesies sebegini, tak habis-habis cuba mencabar kedudukan Islam dan pribumi.

Begitu juga dengan Sekolah Missionari yang telah diambilalih oleh kerajaan. Bukanlah menjadi isu besar jika identiti penjajah seperti lambang salib ditukar kepada identiti tempatan. Tidakkah ia perlu dimalaysiakan sifatnya sesuai dengan keadaan masyarakat di sini? Kenapa masih mahu mengekalkan identiti penjajah? Apakah mengekalkan identiti Melayu atau tempatan bermakna memelayukan bukan Melayu? Apakah kita langsung menolak asimilasi walaupun sedikit? Apakah majoriti langsung tidak ada hak dalam masyarakat minoriti?

Anak

Orang ini tidak perlu menghantar 'anaknya (jika ada anak sah taraf) ke sekolah kebangsaan, jika dia tidak yakin dengan sekolah kebangsaan atau pun mungkin dimelayukan. Kehadiran 'anak' orang ini tidak diperlukan di sini. Hantar sahaja 'anak'nya itu ke sekolah di negara asal-usulnya atau ke seberang laut. Cubalah buat kajian berapa ramai produk pelajar bukan Melayu yang telah berjaya hasil didikan di sekolah kebangsaan peringkat menengah setelah mereka tamat pembelajaran di sekolah vernakular? Tidak juga mereka memeluk Islam melalui amalan doa pagi ketika perhimpunan.

Persoalan juga ditimbulkan mengenai pertubuhan bukan Islam di sekolah seperti yang telah saya tulis dalam Mingguan Malaysia 1 Ogos 2010. Tidak perlu saya ulang. Bacalah. Persoalan kenapa bukan Islam tidak boleh berdakwah kepada orang Islam, bacalah Perlembagaan, jangan jadi jahil.

Orang ini juga membangkitkan mereka yang memeluk Islam yang dibantu dari segi kewangan. Tidakkah orang ini tahu bahawa bantuan tersebut dibuat melalui asnaf zakat, bukan wang sekutu ultra kiasu orang ini yang selalu cuba mengelakkan diri daripada membayar cukai? Orang ini janganlah terlalu berani.

Sebenarnya semua perkara yang dibangkitkan itu adalah tuntutan pertubuhan haram Inter- Faith Council (IFC) dan Majlis Peguam satu ketika dahulu. Agama Islam dilabelkan sebagai zalim kerana tidak membenarkan mereka yang memeluk Islam untuk murtad kembali.

jangan terlalu berani mencabar.... dr ridzuan tee(mingguan)

Sunday, August 8, 2010

Belajar dari kejayaan lalu....(Orang Perak kita ni)

(Petikan Mingguan).....SEBAGAI anak Perak saya semakin meluat dan menyampah dengan apa yang berlaku ketika Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak bersidang baru-baru ini. Masa banyak dihabis dengan bergaduh dan bertegang urat leher di dalam dewan. Sedangkan kerja-kerja kita banyak menanti di hadapan. Jika ia terus berlarutan sehingga pilihan raya akan datang, siapakah yang akan menjadi mangsa sebenarnya. Saya tidak nampak orang lain, melainkan rakyat.

Fikirkanlah kepentingan rakyat buat sementara waktu. Buanglah ego jauh-jauh. Tidakkah kita boleh berbahas dan berbincang dengan baik demi untuk rakyat negeri Perak? Biarlah pilihan raya akan datang menentukan sama ada BN atau PR menjadi pilihan. Tidakkah hidup perlu diteruskan? Jika BN bersalah sehingga menyebabkan PR tumbang, rakyat tidak buta. Namun, jika sebaliknya berlaku, rakyat sudah bijak membuat pilihan. Justeru, jangan terlalu ultra kiasu hanya kerana mendapat sokongan mereka. Sokongan ini tidak akan bertahan lama kerana matlamat berbeza.

Apakah kita masih tidak dapat melihat kenapa Nizar Jamaluddin masih boleh menjadi ketua pembangkang, sedangkan kerusi PAS amat kecil bilangannya di DUN Perak? Begitu juga dengan di Parlimen, kenapa Anwar Ibrahim masih boleh menjadi ketua pembangkang sedangkan kerusi ultra kiasu lebih banyak berbanding dengan parti pembangkang yang lain?

Jawapannya mudah, kerana kita sudah cair dan tidak melaung Melayu dan Islam secara berani. Saya tidak yakin Nizar dan Anwar akan dipilih sebagai ketua pembangkang jika mereka saban hari bercakap dan berjuang untuk menegakkan negara Islam atau melaksanakan undang-undang hudud. Hari ini mereka begitu lunak disebabkan oleh kita mula lupa perjuangan yang sebenar. Saya sudah jarang mendengar perkataan hudud dan negara Islam. Yang selalu kedengaran adalah usaha bersama untuk memerangi rasuah dan ketidakadilan yang dikatakan begitu parah berlaku dalam BN, seolah-olah pakatan terlalu bersih. Maknanya, persepakatan yang wujud selama ini adalah berasaskan kepada nilai dan isu, bukannya mencapai matlamat dasar?

Justeru, tidak hairanlah kedua-dua parti majoriti Melayu ini menjadi semakin lama semakin liberal. Jika mereka tetap dengan pendiriannya, yakni terlalu kemelayuan dan keislaman, saya tidak nampak mereka berdua akan dipilih sebagai ketua pembangkang. Ultra kiasu sanggup 'menikus' hari ini, sebab keuntungan terbentang di depan mata. Janganlah kita pura-pura memejam mata dengan apa yang berlaku? Ultra kiasu bukanlah orang yang bodoh untuk dipergunakan atau diperkotak-katikkan. Mereka sudah cukup matang dalam berpolitik.

bergaduh

Terus terang, politik ultra kiasu lebih bijak daripada politik orang Melayu Islam. Saya pohon maaf kepada Melayu Islam atas kenyataan ini. Saya tidak suka berselindung. Kita berpolitik tidak habis-habis bergaduh. Bergaduh seolah-olah tidak ada penghujung. Sedangkan orang lain sentiasa melihat peluang dan kesempatan.

Antara budaya ultra kiasu adalah mereka sentiasa mengambil iktibar kejadian lalu, alam dan persekitaran sebagai asas dalam menyusun strategi. Pemikiran strategik ketenteraan Sun Tzu, sentiasa menjadi panduan untuk diterjemahkan dalam perjuangan dan persaingan politik. Kata-kata kenali diri, sebelum mengenali musuh, sentiasa tersemat di hati, kerana dengan mengenali diri sahaja mereka akan memenangi ribuan pertarungan. Saya yakin ultra kiasu amat mengenali diri mereka lebih dari orang lain. Lanjutan itu, mereka dapat mengenali orang lain dengan lebih mudah dan mencairkannya.

Berbanding dengan kita hari ini, bukan sahaja tidak kenal diri sendiri, tetapi mengalami krisis identiti. Hasilnya kita tidak dapat mengenali siapakah musuh sebenarnya? Kita bermusuh sesama sendiri. Kawan atau saudara dianggap sebagai musuh. Akibatnya, kita jarang menang dalam persaingan atau pertarungan.

Ultra kiasu begitu pandai menyusun strategi berasaskan pemikiran strategik ini sehingga kita sukar untuk meramalkan kekuatan mereka. Hari ini mereka sanggup merendah diri dengan melantik orang lain sebagai pemimpin. Itu bukan bermakna mereka beralah atau tidak kuat. Mereka kuat, pada masa sama mereka sedang menyusun strategi. Kita yang terlalu bodoh tidak dapat melihat pemikiran strategik itu. Benar, mereka seolah-olah bersama-sama kita menentang ketidakadilan dan korupsi dalam BN. Persoalannya, kenapa mereka senyap dalam soal keruntuhan moral lain seperti seks bebas, judi dan maksiat yang lain?

Jawapannya, jika mereka cenderung ke arah 'kebaikan' tersebut, mereka akan dilihat seolah-olah sudah cenderung ke arah Islam. Strategi ini sudah pasti membahayakan. Mereka memilih untuk menjadi sekular. Maka tidak hairan sebarang percubaan menegakkan 'Negara Islam ala UMNO atau ala Pas ditentang habis-habisan.

Mereka juga mengamalkan blue ocean strategy atau strategi laut biru. Dengan kata lain, mereka kelihatan seolah-olah kecil, tetapi stabil. Mengubah persaingan kepada kerjasama, lencongan strategik dan mengelirukan pesaing. Dahulu mereka bersaing dengan parti Islam walaupun mereka adalah pembangkang. Hari ini, keadaan seolah-olah terbalik. Parti pembangkang tidak lagi bersaing, tetapi kelihatan seperti adik-beradik. Sama-sama protes dan boikot keluar daripada parlimen dan DUN. Mereka melangkah megah dan bangga seolah-olah ada 'kesatuan' tindakan.

Kematangan

Ingatlah wahai umat Islam, kematangan ultra kiasu menjadikan mereka berpandangan jauh. Mereka amat mahir mengintai peluang dan memanfaatkan ruang untuk mencapai kejayaan. Mereka akan menggembelingkan tenaga, jiwa raga dan fokus dalam menuju matlamat. Istiqamah dalam perjuangan. Tidak ada istilah jemu atau putus asa. Berjuang sehingga akhir hayat.

Pada mereka kekayaan adalah kunci kepada kekuatan. Kekayaan hanya akan diperolehi melalui perniagaan. Sama seperti apa yang disebut Nabi kita, sembilan per sepuluh punca rezeki adalah hasil dari perniagaan. Ini bertepatan dengan pegangan konsep Guanxi. Nilai kejayaan dan kekayaan seseorang boleh ditambah dengan membina hubungan yang utuh sama seperti tahap berjaya mengumpul kekayaan.